Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Penutupan 17 Sekolah di Pasir Gudang Bermula Esok

By 23 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin/Mohammed Iqbal Ibrahim

PASIR GUDANG,  23 Jun (Malaysiaaktif) – Sebanyak 17 sekolah ditutup bermula esok.

Terdahulu, sebanyak tiga sekolah ditutup sejak Khamis lalu dan 14 buah sekolah lagi akan ditutup bermula esok.

Turut terlibat sama adalah institusi pengajian awam, sekolah-sekolah agama kerajaan Johor di jajaran yang telah dikenal pasti dan termasuk semua pra sekolah dan tadika.

Sehingga 6.00 petang, seramai 55 orang telah menerima rawatan di klinik sementara stadium tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan 15 orang yang dirujuk ke hospital.

Sidang media oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,  Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar

Sidang media oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar

Dimaklumkan, sekitar 11.00 pagi tadi pihak bomba menerima panggilan daripada SMK Nusa Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia dan SK Kopok memaklumkan kejadian sesak nafas dan muntah-muntah.

Pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian dan membuat saringan kepada 20 orang yang dikesan mengalami gejala sesak nafas dan muntah-muntah.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik dalam mesyuarat telah membuat ketetapan agar sekolah-sekolah yang berada dalam jajaran lokasi kejadian yang telah dikenal pasti ditutup selama empat hari bermula esok sehingga 27 Jun ini.

Sekolah yang terlibat termasuklah SK Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok, SK Kota Masai 3, SK Taman Cendana, SMK Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang, SMK Kota Masai, SJK (T) Pasir Gudang, SK Taman Scientex, SMK Taman Scientex termasuk tiga sekolah yang telah dimaklumkan sebelum ini iaitu SK Pasir Gudang 4, SMK Pasir Gudang 2 dan Sekolah Agama Taman Mawar.

Dalam pada itu, Bilik Gerakan Operasi Pemantauan dibuka di Stadium Tertutup Pasir Gudang diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar bagi membuat pemantauan kualiti udara di kawasan Pasir Gudang.

Mohd Khuzzan bersama petugas

Mohd Khuzzan bersama petugas

Sehingga kini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama-sama agensi yang terlibat sedang  melakukan siasatan untuk mengenalpasti punca kepada pencemaran bau yang dikesan di sekolah-sekolah yang terlibat.

Pasukan pemantauan kualiti ditubuhkan bagi membuat pemantauan di kawasan yang terdiri daripada Jabatan Kimia, BOMBA, JAS, KKM, NADMA & Meteorologi sambil dibantu oleh agensi luar seperti Pasir Gudang Emergency Matual Aid (PAGEMA).

Semua aktiviti luar masih berjalan seperti biasa dan tiada situasi yang serius berlaku setakat ini dan penduduk dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik-klinik yang berdekatan sekiranya ada simptom muntah-muntah dan sesak nafas.

Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang sahih dan sebarang pertanyaan atau pengesahan maklumat, bolehlah menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pusat Gerakan Operasi Negeri JBPM Negeri Johor di talian 07-3409999.

-EM

Tinggalkan komen anda