Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Labuan Satu-Satunya Wilayah ‘zero’ Konflik Kaum di Malaysia

By 24 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 24 Jun (Malaysiaaktif ) – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy mengesahkan belum pernah menerima laporan wujudnya konflik kaum di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pencapaian itu katanya meletakkan Labuan sebagai satu-satunya wilayah yang ‘zero’ konflik kaum dan dikira sebagai negeri paling harmoni di Malaysia.

“Saya percaya ini hasil daripada kesedaran penuh masyarakat Labuan yang sentiasa memelihara dan menjaga hubungan kaum dengan mantap dan semangat perpaduan yang tinggi serta wujud kesedaran bahawa ‘Perpaduan Negara’ itu adalah tanggungjawab bersama,” katanya semasa merasmikan Program Silang Budaya Kaamatan, Gawai dan Hari Raya Sempena Sambutan Minggu Perpaduan, semalam.

Beliau merasa bangga dan menganggap program tersebut amat unik serta boleh merapatkan hubungan silaturahim semua pihak.

Baharin (dua dari kiri), Rozman (paling kiri) turut mencuba sendiri 'menumpah ambuyat' bersama 500 peserta lain.

Baharin (dua dari kiri), Rozman (paling kiri) turut mencuba sendiri ‘menumpah ambuyat’ bersama 500 peserta lain.

“Saya difahamkan program ini melibatkan lebih dari 500 orang pemimpin utama di Wilayah ini termasuk Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan, Swasta, Pemimpin-Pemimpin Politik, Majlis Perwakilan Penduduk, Rukun Tetangga, Badan Bukan Kerajaan, Pertubuhan Sukarela dan seluruh masyarakat bersama-sama melakukan upacara unik ‘Menumpah Ambuyat’ lebih-lebih lagi akan direkodkan dalam ‘Malaysia Book Of Records’.

“Saya sungguh terharu dengan idea penganjuran aktiviti yang sangat unik seperti ini dan saya percaya memberi impak kesedaran kepada kita semua betapa pentingnya semangat perpaduan itu dipelihara dan dijaga bersama-sama agar negara sentiasa aman, damai, sejahtera dan dapat melahirkan masyarakat dinamik serta negara maju,” katanya.

Selain itu, program ini turut dapat mengungkap dan mempromosikan pelbagai budaya adat resam dan makanan-makanan tradisi yang menjadi khazanah kebanggan negara kita.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Perpaduan Malaysia, Datuk Baharin Idris.

Acara menumpah ambuyat turut melibatkan masyarakat berbilang kaum

Acara menumpah ambuyat turut melibatkan masyarakat berbilang kaum

Program Silang Budaya Kaamatan, Gawai dan Hari Raya Sempena Sambutan Minggu Perpaduan diisi dengan pelbagai acara seperti pameran adat resam pelbagai kaum seperti Bediang, Moginggat, Bambarayan Kaamatan, Miring Gawai dan Pertandingan Makanan Perpaduan serta Pertandingan Magagong dan Kulintangan.

Acara kemuncak pula adalah Menumpah Ambuyat secara serentak seramai 500 orang sebagai percubaan mencatat rekod dalam Malaysia Book Of Records.

Hadir sama Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan Fadzillah Mahmud dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Labuan Mimie Duasah Selvakumar.

-EM

Tinggalkan komen anda