
Laporan/foto: Pai Syahira (Pahang)
ROMPIN, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Polis Marin Bukit Aman merampas RM 5.2 juta rokok seludup di Leban Cendong pada awal pagi semalam semasa kegiatan penyeludupan dilakukan selepas menurunkan rokok-rokok tersebut dari kapal dagang.
Sindiket dipercayai didalangi rakyat tempatan menggunakan modus operandi terbaharu melalui kapal dagang dan memindahkan menggunakan bot pancung sebelum diangkut ke dalam lori untuk diagihkan mengikut laluan menghala ke Lembah Klang dan Pantai Timur.
Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Pasukan Polis Marin Yusoff Mamat berkata, “Kami berjaya menahan tiga orang tempatan dalam operasi kali ini dan tiga lori dengan nilai rampasan lebih lima juta,” ujarnya.
Dalam serbuan tesebut, sejumlah 279,000 karton rokok daripada pelbagai jenama dirampas dan tiga buah lori berkapasiti 5 dan 8 tan berwarna putih berjaya ditahan.
Risikan selama hampir tiga minggu dan sumber maklumat orang ramai serta kekuatan tujuh anggota memeriksa bahagian belakang lori telah menjumpai ratusan kotak bewarna coklat dan dibalut plastik lutsinar.
Sehubungan itu, tiga lelaki berumur dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun diberkas dan ditahan di bawah Seksyen 135(A) Akta Kastam 1967 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, sebanyak sembilan kes dilaporkan dalam tempoh Januari hingga kini melibatkan rampasan RM 12.3 juta.
-KN