Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Unit Khas KKMM Fokus Bantu OKU Manfaat Teknologi – Gobind

By 11 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Ihsan Bernama

PUTRAJAYA, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Sebuah unit khas di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan ditubuhkan untuk memberi fokus kepada usaha membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) memanfaatkan teknologi termasuk menjalankan perniagaan dalam talian.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata unit tersebut akan bertindak bagi menyelaraskan sebarang permohonan berhubung hal berkaitan teknologi dan penggunaan internet yang diterima daripada golongan OKU di negara ini.

“Saya berhasrat untuk menubuhkan satu unit khas supaya kementerian dapat melihat kepada apa masalah dihadapi mereka dalam hal berkenaan dan bagaimana kita boleh selesaikan.

“Sekarang kita lihat bagaimana kita dapat menggunakan teknologi, khususnya infra yang kita ada untuk membantu golongan OKU ini untuk menjayakan dan memperkasakan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penyertaan Bengkel e-Dagang kepada 15 peserta OKU di Pejabat Pertubuhan Orang Cacat Cina Malaysia (POCCM) di Puchong di sini, semalam.

Gobind berkata fokus yang diberikan kepada golongan berkenaan mampu menyelesaikan masalah di samping membantu mereka menggunakan teknologi untuk meningkatkan taraf hidup khususnya menerusi perniagaan dalam talian.

“Internet ini memang boleh memperkasakan perniagaan orang ramai dan ia perlu dilihat sebagai satu kemudahan yang boleh digunakan oleh seluruh lapisan masyarakat sebagai kemudahan asas seperti juga air dan elektrik.

“Saya nak melihat masa depan Malaysia di mana semua rakyat ada akses kepada internet. Semua pembangunan dan pembinaan baharu juga perlu dilengkapi dengan internet kerana ia sangat penting untuk masa depan kita,” katanya.

Beliau berkata unit tersebut juga bertindak bagi memastikan tindakan susulan mengenai sebarang aduan lain yang diterima kementerian daripada golongan berkenaan diambil perhatian.

Dalam pada itu, Gobind yang juga Anggota Parlimen Puchong berkata beliau turut mengambil perhatian berhubung permintaan dibangkitkan golongan OKU yang meminta pakej khusus bagi harga internet dikurangkan kepada mereka.

Beliau berkata perkara itu telah dikemukakan kepada beberapa syarikat telekomunikasi, namun sehingga kini kementeriannya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkenaan.

“Jadi esok saya akan minta pejabat saya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai hal ini. Sekiranya boleh laksana kita akan laksana. Jika tidak, kita akan mencari alternatif lain,” katanya. — BERNAMA

Tinggalkan komen anda