Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Durian Junjong Dinobat Raja Buah Terbaik Kedah

By 22 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sarah Abdul Halim/Mahrani Mohamad (Kulim)

KULIM, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Karnival Durian Kedah 2019 yang berlangsung selama dua hari di Pasar Tani Kekal FAMA, Taman Angsana menyaksikan durian Junjong memenangi dua kategori iaitu durian klon dan durian kampung.

Pemiliknya, Yee Wan Leong berkata beliau tidak menyangka sama sekali durian dari kebun dusun miliknya di Mukim Junjong mendapat tempat pertama bagi kedua-dua kategori.

“Saya berani jamin siapapun akan terpikat akan keenakan rasa lemak manis dan kelembutan isi buah durian ini selain warna kuning keemasan yang menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya,” ujarnya ketika ditemui, di sini semalam.

Karnival Durian Kedah 2019 anjuran Jabatan Pertanian Negeri Kedah dengan kerjasama FAMA dan kerajaan negeri menghidangkan kira-kira tiga tan buah durian dan pulut untuk dinikmati oleh pengunjung yang hadir.

Selain dimakan begitu sahaja, buah durian juga diaplikasikan dalam pelbagai bentuk sajian dan di karnival ini menyaksikan sebanyak 20 pasukan bertanding dalam Pertandingan Masakan Berasaskan Durian.

Menurut EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah Azman Nasrudin, pelbagai juadah boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi dan menarik perhatian penggemar buah durian.

“Saya kagum dengan kebijaksanaan penduduk yang mampu mempelbagaikan isi buah durian sebagai masakan seperti bebola serawa, pulut dakap dan puding caramel, pastinya masakan seperti ini mampu menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Karnival Durian Kedah 2019 menyajikan pelbagai jualan berasaskan pertanian dengan peniaga-peniaga MyMampu dan turut hadir sama ialah Pengarah FAMA Negeri Kedah Anuar Muhammad dan Pegawai Daerah Kulim Mohd Yusri Daud.

-SH

Tinggalkan komen anda