Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuan

E-Clearance Bantu JKDM Laksana Tugas Lebih Efisien

By 22 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Pengenalan Sistem e-Clearance di mana urusan boleh dilakukan secara dalam talian membolehkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan melaksanakan tugas secara lebih efisien.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, JKDM memainkan peranan penting dalam mengumpul hasil untuk kerajaan yang diperlukan agar perkhidmatan awam dan operasi kerajaan dapat berjalan secara lancar.

“Menyedari hakikat ini, kerajaan mengambil berat terhadap kemampuan dan keperluan JKDM dalam melaksanakan tugas yang penting ini, secara efisien, profesional dan bersih.

“Pengenalan sistem e-Clearance di JKDM Labuan adalah salah satu contoh inovasi teknologi dan penambahbaikan yang sedang dilakukan ke arah itu,” katanya yang ditemui pada majlis Pelancaran Sistem e-Clearance di bangunan Kastam Labuan, semalam.

Guan Eng menurunkan tanda tangan pada plak perasmian sambil disaksikan Paddy.

Guan Eng menurunkan tanda tangan pada plak perasmian sambil disaksikan Paddy.

Aplikasi e-Clearance yang dibangunkan oleh JKDM dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos bagi pemegang taruh dan meningkatkan kepatuhan mereka ke atas keperluan perundangan Kastam, selain mengurangkan penggunaan dokumen atau kertas dan memudahkan JKDM untuk memantau semua pelabuhan, jeti persendirian serta terminal.

E-Clearance juga mempunyai modul lain iaitu permohonan kerja lebih masa dan permohonan kehadiran pegawai kastam bagi memudahkan pemegang taruh berurusan dengan JKDM.

Menurut Guan Eng lagi, Kementerian Kewangan turut meluluskan sejumlah peruntukan besar hampir RM1 bilion untuk menaiktaraf fasiliti mesin pengimbas, termasuk membeli 76 mesin pengimbas baharu, di lokasi-lokasi utama pintu masuk dan untuk pembelian 32 bot peronda bagi memantapkan lagi aktiviti kawalan perbatasan negara.

“Adalah diharapkan dengan penaik tarafan yang dilaksanakan sendiri oleh JKDM dengan kos RM2.4 juta ini, ruang pejabat yang kondusif ini dapat memberi keselesaan dan semangat yang tinggi kepada seluruh warga Kastam Wilayah Persekutuan Labuan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai organisasi pemungut cukai negara dan seterusnya mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan dan kualiti kerja.

“Saya menyarankan agar seluruh warga JKDM Labuan melaksanakan budaya mesra pelanggan yang mengutamakan kecemerlangan budi pekerti selain mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni serta menzahirkan perhubungan akrab antara penjawat awam dengan pelanggan,” tambahnya.

Hadir sama Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abd Halim, Ahli Parliman Labuan Datuk Rozman Isli, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien, Mtt. Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah  Jaapar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman dan Ketua Polis Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad.

-SH

Tinggalkan komen anda