Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Guru SK Kerupang Guru Adiwira 2019

By 30 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Md Khairul Azad Yunus/Zaliha Mohd Salleh (Labuan)

LABUAN, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Kerupang, Wilayah Persekutuan Labuan terpilih menjadi Guru Adiwira sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun 2019 baru-baru ini.

Angeline Leong Nyet Choo, Guru Bahasa Inggeris di sekolah itu berkata pemilihan beliau untuk menerima anugerah Guru Adiwira Kebangsaan menjadi detik paling bermakna sepanjang bergelar pendidik selain menjadi pembakar semangat untuk terus berbakti kepada anak bangsa.

Beliau sentiasa memastikan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPC) kelasnya menarik, agar setiap hari murid-murid didiknya teruja untuk ke sekolah selain mengimpikan kemudahan yang terbaik untuk anak murid beliau, setaraf dengan sekolah lain dan antarabangsa.

Angeline (tiga dari kanan) merakam kenangan bersama-sama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin (empat dari kiri) dan Pengarah Pendidikan Labuan, Raisin Saidin (tiga dari kiri).

Angeline (tiga dari kanan) merakam kenangan bersama-sama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin (empat dari kiri) dan Pengarah Pendidikan Labuan, Raisin Saidin (tiga dari kiri).

“Bertugas di sekolah kategori gred A merupakan cabaran terbesar sebagai guru dalam usaha menarik minat murid-murid terhadap mata pelajaran terutamanya Bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun saya tidak patah semangat, malah sentiasa mewujudkan pelbagai inovasi dalam sesi pengajaran dan pembelajarannya,” katanya yang ditemui sempena sambutan tersebut, di sini.

Cikgu Angeline turut bergiat secara langsung sebagai seorang pengendali penanaman bunga raya dan vinca.

“Hasil daripada tanaman bunga-bunga tersebut dijadikan dana untuk membantu murid-murid yang kurang berkemampuan bukan sahaja di sekolah ini malahan kami menghulurkan bantuan hingga ke Sabah,” kongsi guru Bahasa Inggeris ini lagi.

Menurut Angeline lagi, guru adalah adiwira sebenar kerana melakukan pelbagai pekerjaan yang kadangkala menjadi lebih sukar kerana terdedah kepada pelbagai cabaran jauh lebih luas daripada skop tugasan mereka.

“Usaha guru-guru ini bukannya untuk mengharapkan pujian tetapi mereka ikhlas untuk melihat anak didik berjaya,” ujarnya lagi.

Sifat prihatian, pengorbanan masa dan kewangan menjadikan beliau sangat disayangi oleh murid-muridnya dan ibu bapa, dan hasilnya peratusan lulus di sekolahnya meningkat dengan drastik.

Angeline berbesar hati menerima anugerah Guru Adiwira sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019, baru-baru ini.

Angeline berbesar hati menerima anugerah Guru Adiwira sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019, baru-baru ini.

“Berpegang kepada prinsip segunung pengorbanan selautan kejayaan dan apa yang guru tulis atas papan kehidupan pelajar tidak akan terhapus, saya percaya sebagai pendidik tiada yang mustahil jika ia datang daripada hati,” tambahnya.

Berbekalkan teknik mengajar yang menarik, Kelas Bahasa Inggeris beliau penuh dengan keriangan, muzik, puisi, gelak tawa, kemudahan teknologi dan murid-murid yang cintakan pembelajaran.

Beliau berjaya mengubah murid-murid daripada kurang berminat ke sekolah sehinggalah ada di antara mereka yang berjaya memperolehi gred A untuk bahasa Inggeris dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

-SH

Tinggalkan komen anda