Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Harapan Baharu Bekas Klien

By 9 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 50 Kes Pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Batu Pahat yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan dalam komuniti terlibat sama dalam Majlis Ramah Mesra Klien Bersama Komuniti.

Ketua AADK Daerah Batu Pahat Mohd Ali Abdullah, berkata program ini dijalankan adalah untuk mewujudkan jaringan sosial antara Ahli Jawatankuasa Rumah Komuniti, klien, keluarga dan pelbagai jabatan agar sentiasa mendapat maklumat yang tepat mengenai rawatan dan pemulihan yang sedang dijalankan.

“Program ini mampu memberi motivasi kepada klien agar mereka lebih positif dan berkeyakinan untuk bergaul dengan khalayak seterusnya memantapkan diri dalam usaha untuk pulih melalui sokongan berterusan komuniti.

“Masyarakat juga dapat memahami serta memberi kemahiran dan meluaskan pengalaman dari sudut pengendalian serta pelaksanaan program rawatan dan pemulihan klien di dalam komuniti,” katanya ketika ditemui di majlis tersebut semalam di Kompleks Penghulu Mukim 7, Tanjung Sembrong Batu Pahat.

Menurut statistik yang dikeluarkan, setakat bulan Mei 2019 seramai 707 klien menjalani pengawasan dalam daerah. Klien yang menjalani pengawasan dalam daerah ini turut disifatkan sebagai kelompok sasar yang sedang dibantu oleh pihak AADK untuk terus pulih seperti sediakala.

Suhairi Kasman, 36, berkata bahawa dirinya telah terlibat dengan najis dadah akibat bergaul bersama rakan-rakan yang mempunyai masalah sosial, namun kini beliau telah kembali ke pangkal jalan dan berazam mahu menjadi insan yang baik seterusnya bebas daripada dadah.

Hampir 2 tahun beliau mendapat pengawasan dari AADK banyak memberi peluang untuk dirinya berubah dan sebolehnya tidak mahu berjumpa lagi dengan rakan-rakan lama yang terjebak dengan najis dadah.

“Saya mengakui diri belum kuat untuk berhadapan dengan masyarakat, namun dengan sokongan pihak AADK, saya bertambah positif untuk meneruskan kehidupan dan kini memasang niat untuk mendirikan rumah tangga bagi membina kehidupan baharu,” katanya berharap.

Haryati Mohd Razali, 33, turut menzahirkan rasa kesal di atas perbuatannya yang lampau.

“Saya berjanji untuk terus menjauhi najis dadah serta konsisten dalam kehidupan yang mendatang bersama-sama dengan anak tunggal yang kini berusia 15 tahun yang juga merupakan seorang anak OKU.

“Saya yang masih dalam pengawasan AADK berazam untuk menjadi insan yang lebih baik dan mahu berterusan mendekatkan diri dengan pencipta alam ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Batu Pahat Zulkiflee Abbas, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Johor Azli Ubin, Pengerusi Rumah Komuniti Baitul Islah Yong Peng Mohammad Azar Aziz dan Penghulu-Penghulu Mukim Daerah Batu Pahat.

-SH

Tinggalkan komen anda