Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanHomeSabah

Sabah Buka Peluang Pelaburan Kepada Syarikat Jepun

By 9 Julai 2019Julai 11th, 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol/ Ahmad Sarujin Seting (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Sabah mengorak langkah membuka ruang dan peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat Jepun.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beberapa syarikat dari negara tersebut menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini.

“Saya menerima kunjungan beberapa syarikat pelaburan dari Jepun hari ini yang menyampaikan hasrat untuk melabur dalam pelbagai bidang seperti penternakan organik, pelancongan, perhotelan dan penjanaan tenaga solar.

“Dalam pada itu, mereka juga menunjukkan minat untuk membangunkan Pulau Sulug sebagai destinasi pelancong mesra alam dengan teknologi tinggi, namun ia belum diputuskan lagi kerana ia berada dalam kawasan Taman Negara Tunku Abdul Rahman dan beberapa perkara perlu dipertimbangkan.

“Mereka turut berhasrat untuk mewujudkan ladang solar berteknologi tinggi di sini atau kawasan sekitar yang memerlukan 10 hektar tanah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wanoyu Global Co. Ltd merangkap ketua rombongan berkenaan, Nikkoh Doh berkata mereka memilih Sabah sebagai destinasi pelaburan kerana keindahan pulau dan lautan di sini merupakan antara yang tercantik di dunia.

“Pulau dan laut yang indah menjadi daya penarik pelancong datang ke Sabah dan ramai rakyat Jepun yang berminat untuk menyelam.

“Di sini juga mempunyai makanan laut yang segar, ia amat sesuai dijadikan destinasi pelancongan bagi masyarakat Jepun,” kongsinya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Shafie di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Isnin.

Pada kunjungan tersebut, sebanyak sembilan syarikat dari Jepun turut serta iaitu Adguild Japan Ltd, Newspace.com, Kinki Nippon Tourist Kanto Co Ltd, Ferris Company Ltd, Shine Artist Investment Inc, 10 Fields Factory, Cross Core Ltd, The Nihon Kogyo Shimbun Co Ltd dan Cooo Japan.

Turut hadir pada kunjungan tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Panglima, Hashim Paijan.

-SH

Tinggalkan komen anda