Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kawasan Hospital Kekal Bebas Perokok dan Asap Rokok

By 1 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Zaidi Jamin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Peraturan larangan merokok di kawasan dan persekitaran hospital terus dipergiat dan diperketat bagi memastikan setiap pusat perubatan dan kesihatan di negeri ini terus terhindar daripada pencemaran budaya tidak sihat, terutama bahaya asap rokok.

Dr. Chin (kelima dari kanan) merakamkan gambar bersama pelanggan yang berjaya berhenti merokok melalui Klinik Merokok HQE.

Dr. Chin (lima dari kanan) merakamkan gambar bersama pelanggan yang berjaya berhenti merokok melalui Klinik Merokok HQE.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Christina Rundi berkata larangan merokok di kawasan hospital seterusnya menjadikan hospital bebas asap rokok bukan sekadar menggalakkan masyarakat mengambil berat kepentingan gaya hidup sihat, sebaliknya menunjukkan kesungguhan serta komitmen kerajaan dalam menangani tabiat yang menggugat kesejahteraan masyarakat.

“Merokok dalam apa jua bentuk pasti memudaratkan kesihatan. Bukti saintifik menunjukkan tembakau terutamanya rokok mengandungi lebih 4,000 jenis racun dan merupakan faktor risiko yang sangat mengancam nyawa perokok dan individu yang terhidu asap rokok berkenaan.

Pameran bahaya merokok turut dipaparkan di ruang pameran dan mendapat perhatian pelajar sepanjang sambutan berlangsung.

Pameran bahaya merokok turut dipaparkan di ruang pameran dan mendapat perhatian pelajar sepanjang sambutan berlangsung.

“Usaha dan kempen memastikan kawasan hospital mengekalkan status kawasan larangan merokok dan bebas asap rokok adalah seiring di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

“Sehubungan itu, kempen kesedaran memastikan kawasan hospital dan pusat perubatan bebas asap rokok bukan sekadar memberi peringatan kepada masyarakat mengenai bahaya asap rokok, sebaliknya bertujuan menjamin kesihatan masyarakat akibat risiko bahaya asap rokok pada jangka masa panjang,” ujarnya.

Unit Kesihatan Awam Hospital antara yang berperanan memberi penerangan berhubung gejala akibat merokok.

Unit Kesihatan Awam Hospital antara yang berperanan memberi penerangan berhubung gejala akibat merokok.

Tambahnya, Program Sambutan Minggu Tanpa Tembakau yang disambut setiap tahun bukan sekadar program menggalak perokok untuk berhenti merokok semata-mata, sebaliknya bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan kepada orang ramai khususnya kepada warga hospital betapa pentingnya pengetahuan dan kesan buruk pengaruh rokok kepada diri, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara amnya.

Dr. Christina berkata demikian semasa Sambutan Minggu Tanpa Tembakau dan Pelancaran Hospital Bebas Asap Rokok bertempat di Auditorium, Menara Berkembar HQE, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Perubatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr. Chin Kuan Yei.

Sebahagian daripada jururawat turut sama menjayakan kempen Minggu Tanpa Tembakau Peringkat HQE.

Sebahagian daripada jururawat turut sama menjayakan kempen Minggu Tanpa Tembakau Peringkat HQE.

Terdahulu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Unit Kesihatan Awam, (HQE) Arshad Abdul Majid dalam sesi ceramah berkata, usaha memperketat peraturan larangan merokok di kawasan Hospital tidak tertumpu dan dipertanggungjawabkan kepada pegawai dan Unit Keselamatan hospital semata-mata, malah akan terus dipertingkatkan termasuklah memberi kebenaran dan sokongan kepada setiap anggota hospital untuk menegur perokok yang merokok di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Sebagai warga perubatan yang mengambil berat kesihatan umum, peranan kita bukan sekadar memberi khidmat perubatan dan kesihatan malah lebih daripada itu.

Sebahagian daripada warga hospital turut sama menjayakan kempen Minggu Tanpa Tembakau Peringkat HQE.

Sebahagian daripada warga hospital turut sama menjayakan kempen Minggu Tanpa Tembakau Peringkat HQE.

“Kita perlu saling tegur menegur dan membimbing masyarakat agar sama-sama membantu usaha dan masalah ketagihan rokok di kalangan para perokok.

“Individu yang terus mengamalkan tabiat merokok pasti terdedah kepada pelbagai penyakit kronik antaranya strok, serangan jantung, penyakit paru-paru dan pelbagai jenis kanser.

Hadir memeriahkan sambutan Minggu Tanpa Tembakau dan Pelancaran Hospital Bebas Asap Rokok peringkat HQE termasuk pelajar sekolah sekitar Kota Kinabalu

Hadir memeriahkan sambutan Minggu Tanpa Tembakau dan Pelancaran Hospital Bebas Asap Rokok peringkat HQE termasuk pelajar sekolah sekitar Kota Kinabalu

“Malah perokok juga sentiasa menghadapi risiko diserang penyakit berbahaya bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada,” jelasnya.

Kata Arshad, pihak hospital turut menawarkan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok bertempat di aras 1, Bangunan PGMC, HQE bagi individu yang ingin berubah dan menjauhi diri dari rokok.

Anggota perkhidmatan awam dan swasta juga kalangan pelajar dan golongan belia adalah dialu-alukan mendapatkan rawatan dan nasihat ke arah hidup lebih sihat tanpa rokok.

Dr. Chin merakamkan gambar bersama ahli jawatankuasa sambutan serta ketua-ketua mewakili jabatan yang dijemput.

Dr. Chin merakamkan gambar bersama ahli jawatankuasa sambutan serta ketua-ketua mewakili jabatan yang dijemput.

Perkhidmatan klinik ini boleh didapati pada waktu pejabat bermula Isnin hingga Jumaat.

Program Sambutan Minggu Tanpa Tembakau dan Pelancaran Hospital Bebas Asap Rokok peringkat HQE turut diisi dengan sesi ceramah kesedaran serta perkongsian pengalaman menarik di kalangan pelanggan klinik yang berjaya berhenti merokok melalui perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok hospital.

Turut hadir pada majlis, Pengarah HQE Dr. William Gotulis, Ketua Unit Promosi Kesihatan Norsaadah Omar, ketua-ketua jabatan serta para pelajar dan guru pengiring daripada sekolah sekitar Kota Kinabalu.

-EM

Tinggalkan komen anda