Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Lebih Tiga Dekad, Anugerah Perdana Belia Lahirkan Generasi Pelapis Pemimpin

By 2 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Nor Hidayat Bidin/Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 2 Jul (Malaysiaktif) – Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perlis, Nur Amirah Ahmad Sukri, dinobatkan sebagai Tokoh Belia Kategori Individu Wanita pada Majlis Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Perlis 2019 di Stadium Utama Kangar, di sini hari ini.

“Saya amat bersyukur kerana telah diizinkan tuhan untuk menang dalam Anugerah Perdana Belia Negara Kategori Individu Wanita peringkat negeri Perlis tahun ini.

“Perasaan terharu turut saya rasai disebabkan setiap perjuangan atau penglibatan saya dalam berpersatuan mahupun melibatkan diri dalam program masyarakat bukan kerana ingin mendapatkan anugerah, tetapi lebih kepada proses pembelajaran serta pengisian masa terluang dengan perkara berfaedah,” kata gadis berusia 23 tahun ini.

Anugerah Perdana Belia merupakan salah satu program utama yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan sejak dari tahun 1988 lagi sebagai pengiktirafan kepada pertubuhan belia atau individu yang telah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan belia setempat.

Kejayaan tersebut melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.00, piala dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Besar, Azlan Man.

Menurut Nur Amirah, dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan membolehkan belia membentuk jaringan komunikasi yang besar, serta dapat membina kekuatan diri.

“Bagi saya kemajuan negara adalah melalui belia holistik yang mempunyai karisma unggul dalam pelbagai bidang, jadi saya cuba mencari pengalaman sebanyak mungkin demi kemajuan diri pada masa hadapan,” ujarnya yang turut berkhidmat secara sukarela dalam Persatuan Bulan Sabit Merah selama lebih 13 tahun.

GPMS Perlis turut mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi kategori Pertubuhan Belia manakala Pertubuhan Belia 4B Perlis selaku naib johan kategori tersebut.

Sementara itu, kategori Individu Lelaki pula dimenangi oleh Dr Tan Chan Sin dari Persatuan Belia Buddhist Perlis.

-SH

Tinggalkan komen anda