Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanPutrajaya

Media Sosial Pacu Kejayaan ‘Moma Homemade Cake’

By 25 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Menggunakan sepenuhnya platform media sosial berjaya menaikkan nama Sharifah Aziema sebagai usahawan muda yang berjaya bukan sahaja di negeri kelahirannya, Sarawak malah di seluruh negara.

Sharifah Aziema Wan Hossen, 28, yang lebih dikenali dengan panggilan Cik Moma menjalankan perniagaan kek buatan sendiri dengan jenama ‘Moma Homemade Cake’ sejak lapan tahun lalu secara dalam talian.

“Saya memulakan perniagaan ini sejak berumur 20 tahun, sesudah habis pengajian di Giatmara Stampin pada 2011, saya meneruskan program lanjutan di institut tersebut bagi pelatih-pelatih yang ingin serius dalam bidang keusahawanan.

“Selain Giatmara, saya turut mengikuti pelbagai kursus perniagaan lain bagi mendapatkan maklumat sebanyak mungkin untuk menjadi usahawan berjaya baik kursus yang ditawarkan jabatan dan agensi kerajaan mahupun swasta,” kata gadis kecil molek ini kepada Malaysiaaktif.

Lapisan demi lapisan dibakar secara berperingkat dalam menyediakan kek lapis ini.

Lapisan demi lapisan dibakar secara berperingkat dalam menyediakan kek lapis ini.

Menggunakan platform media sosial sepenuhnya untuk memasarkan produk keluarannya, Aziema mengakui medium ini banyak membantunya dalam perniagaan ini hingga berjaya menjana pendapatan lumayan.

“Kita ada facebook, page sendiri dan juga instagram, dari situ kita promosikan produk keluaran syarikat. Ada platform yang berbayar, ada juga yang percuma dan lebih membanggakan ada dalam kalangan pelanggan kita sendiri yang secara sukarela menghebahkan produk ini kepada kenalan masing-masing.

“Pada permulaannya perkhidmatan internet di kawasan ini agak perlahan, namun sekarang perkhidmatannya semakin baik dan memudahkan untuk mempromosikan perniagaan saya dan secara tidak langsung membantu mengembangkan perniagaan.

“Selain memasarkan melalui platform media sosial, kita juga ada agen-agen yang mempromosikan perniagaan ini melalui media sosial masing-masing,” jelasnya lagi yang kini berjaya melebarkan perniagaan hingga ke semenanjung dan di luar kawasan Kuching.

Aziema berharap dapat mamiliki sebuah premis perniagaannya sendiri suatu hari nanti.

Aziema amat berharap dapat memiliki sebuah premis perniagaannya sendiri suatu hari nanti.

Bercakap tentang keistimewaan produk hasil tangannya ini, Aziema punyai caranya tersendiri yang menjadikan kek lapisnya sedap dan tahan lama.

“Saya tidak menggunakan ketuhar elektrik sebaliknya menggunakan ketuhar gas yang lebih mudah penggunaannya di mana kita boleh mengubahsuai suhu, kebesaran api dan ianya dapat membantu untuk membakar kek dengan lebih rata dan membuatkan kek lebih harum dan menyelerakan.

“Bagi pembeli dari Semenanjung, mereka lebih gemar memilih kek-kek jenis klasik seperti ‘Masam-Manis’, ‘Lumut’, ‘Oreo Cheese’ dan sebagainya, namun bagi penduduk tempatan mereka lebih gemarkan kek-kek daripada jenis premium,” tambahnya.

Gadis ini turut berkongsikan ilmu dan pengalamannya memberi tunjuk ajar apabila sering dijemput oleh jabatan kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengajar dalam kelas-kelas masakan.

Aziema memasang harapan untuk mengembangkan perniagaannya dengan memiliki premis perniagaan sendiri suatu hari nanti supaya produk ‘Moma Homemade Cake’ ini boleh didapati di seluruh negara dengan mudahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda