Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Maktab Mahmud Baling (A) Johan Pertandingan Kawad Kaki KASPA

By 25 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Siti Muazah Azemi APM Baling (Baling)

BALING, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Latihan selama tiga minggu membuahkan hasil apabila Maktab Mahmud mewakili Baling (A) menjadi johan kategori lelaki Pertandingan Kawad Kaki Kadet Angkatan Pertahanan Awam (KASPA) Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Utara (PULAPA) Baling, di sini kelmarin.

Ketua Platun Maktab Mahmud Baling (A) Muhammad Asyraaf Rosli, berkata tanpa tunjuk ajar dari pelajar-pelajar lama dan jurulatih dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling mungkin mereka tidak menjadi johan kali ini.

“Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana membantu dari segi latihan dan memperkemaskan formasi-formasi untuk pertandingan ini,” ujarnya.

Beliau yang turut dinobatkan Ketua Platun terbaik kategori lelaki menyatakan pertandingan ini dapat membentuk disiplin pelajar di sekolah dan tidak kira di mana berada.

“Harapan saya agar pertandingan ini dapat diteruskan kerana kawad dapat mendidik pelajar  mewujudkan semangat kerjasama dan tolak ansur di antara ahli kumpulan,” tambahnya.

Ketua Sektor Pengurusan dan Kemanusian Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Marzuki Daud, berkata objektif pertandingan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah dalam aktiviti kokurikulum kawad kaki.

“Saya melihat kesungguhan pelajar menyertai pertandingan ini menjadi bukti bahawa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah memberi sumbangan yang berkesan ke arah aktiviti kokurikulum pelajar.

“Saya berharap Kadet Pertahanan Awam ini dapat terus menyumbang bakti mereka kepada masyarakat apabila meninggalkan alam persekolahan serta dapat menyertai badan-badan beruniform lain demi karier mereka pada masa depan,” katanya ketika ditemui.

Pegawai Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Kedah Kapten (Pa) Mohd Mukhriz Sabir, mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Baling atas penganjuran pertandingan ini  yang dapat mewujudkan kerjasama yang amat baik diantara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Saya berharap pertandingan ini diperluaskan lagi dengan penyertaan pasukan yang lebih banyak pada masa hadapan kerana aktiviti kokurikulum ini dapat mendidik disiplin yang tinggi kepada pelajar,” katanya ketika merasmikan penutup pertandingan kawad kaki ini.

Pertandingan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Baling dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Daerah Baling ini disertai sebanyak 11 pasukan dari tiga daerah,

-SH

Tinggalkan komen anda