Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Uzbekistan Jemput Pengusaha Kraftangan Sertai Festival

By 14 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol/ Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Pengusaha kraftangan dijemput menyertai The First International Handicrafters Festival di Kokand, Uzbekistan pada 10 hingga 15 September depan.

Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia Ravshan Usmanov, berkata jemputan tersebut disampaikan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa mengadakan kunjungan kepadanya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, kelmarin.

“Pada masa ini kami mendapat beberapa penyertaan dari Malaysia dan kami harap Sabah turut menyertai festival berkenaan bagi mempromosikan budaya negeri ini. Selain mempromosikan kebudayaan, ia juga dapat mempromosikan pusat pelancongan yang ada di sini.

“Malaysia merupakan destinasi pelancongan utama rakyat Uzbekistan, tetapi mereka hanya ke Kuala Lumpur dan Pulau Langkawi sahaja. Mempromosikan Sabah sebagai lokasi pelancongan baharu kepada rakyat Uzbekistan merupakan antara matlamat kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ravshan mengalu-alukan kehadiran rakyat Malaysia terutamanya Sabah untuk melawat Uzbekistan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini bagi menjemput penduduk di sini melancong ke tempat kami bagi melihat sendiri keindahannya.

“Terdapat pelbagai aktiviti pelancongan yang boleh diterokai antaranya aktiviti keagamaan, pakej pelancongan muslim, membeli belah dan makanan tempatan yang tidak kurang enaknya seperti di sini,” kongsinya.

Pada lawatan tiga hari beliau, Ravshan menjangkakan peningkatan dalam kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, kebudayaan dan pendidikan.

Ravshan turut menghadiri forum perniagaan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MATRADE) dan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) pada Khamis, serta menghadiri program Tugu Budaya Etnik Sabah ke10- International Youth Folk Dance Festival.

-SH

Tinggalkan komen anda