Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pendaftaran E-kasih, Durian Runtuh Untuk Rakyat Malaysia

By 15 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Wan Arif Fadhila bin Wan Yusof (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan Kerajaan Pakatan Harapan setelah lebih setahun mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Antaranya ialah Bantuan Sara Hidup (BSH), Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40), Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam), Perlindungan Untuk Suri Rumah (i-Suri), Jaminan Persaraan Dengan Caruman Sukarela (i-Saraan).

Kesemua inisiatif difokuskan secara bersasar kepada golongan penerima yang layak dan ditentukan dalam Data Kemiskinan Nasional atau e-Kasih, sebagaimana janji Kerajaan PH menambahbaik kaedah dan ketelusan agihan.

Bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan golongan sasar mendapat manfaat yang sepatutnya, Pejabat Penerangan Daerah Tanah Merah mengadakan Program Santai Minda sebagai platform pendaftaran e-Kasih atas talian di Pusat Komuniti Desa Kampung Ulu Kusial bersama Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Tanah Merah pada petang ini .

Program yang bermula dari pukul 2.00 petang hingga 5.00 petang telah mendapat sambutan lebih daripada 200 orang penduduk sekitar Kampung Ulu Kusial, Kampung Cermin dan Kampung Bukit Durian dalam Dewan Undangan Negeri Gual Ipoh.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tanah Merah, Bahari bin Mohd Nor.

Pegawai Penerangan Tanah Merah, Wan Arif Fadhilah sedang membantu peserta menyemak senarai e-kasih secara atas talian

Pegawai Penerangan Tanah Merah, Wan Arif Fadhilah sedang membantu peserta menyemak senarai e-kasih secara atas talian

Dalam program ini peserta berpeluang menyemak dan mengesahkan nama mereka di dalam senarai e-Kasih. Sekiranya tidak tersenarai, pada masa yang sama peserta boleh membuat permohonan baharu secara atas talian pada masa itu juga.

Menurut Pengurus Pusat Komuniti Desa (PDK) Kampung Ulu Kusial, Masliza binti Rosmie, inilah julung kalinya PDK Kampung Ulu Kusial bergabung bersama agensi kerajaan dalam membantu penduduk mengakses permohonan atas talian.

“Melalui program ini juga dapat membantu penduduk celik teknologi maklumat dengan prasarana yang disediakan oleh kerajaan di Pusat Komuniti Desa,” ujar beliau.

Salah seorang peserta yang hadir, Mohamed bin Salleh ,50, berkata “Pak Cik merasa gembira kerana nama tersenarai dalam e-Kasih dan berhajat untuk mendaftar i-Saraan pula selepas ini,” ujarnya semasa membuat pendaftaran.

Manakala Esah binti Deraman,45, merasa gembira bila namanya tersenarai dalam e-Kasih dan berkata beliau akan memohon i-Suri dengan pihak KWSP serta berterima kasih dengan pihak Pejabat Penerangan Daerah Tanah Merah di atas penganjuran program sebegini.

Sementara Anisah binti Yusof,27, berkata pengalaman melayari pendaftaran e-Kasih ini amat berguna kepada beliau dan berjanji akan membantu kaum ibu yang lain dalam pendaftaran e-kasih ini.

Masyarakat di sini melihat inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan kerajaan demi membantu golongan yang kurang bernasib baik ini seumpama mendapat “Durian Runtuh”, seterusnya mampu mensejahterakan rakyat keseluruhannya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda