Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahBerita TimurKelantan

Program Amalan Demokrasi dan Simulasi Pilihan Raya: Pendedahan Awal Kepada Pengundi Muda

By 15 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Mohamad Roslan (Bachok)

BACHOK, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 200 pelajar dari lapan sekolah menengah sekitar daerah Bachok terpilih untuk merasai pengalaman membuang undi pada kali ini.

Mereka adalah pelajar daripada 8 Kelab Malaysiaku daerah Bachok dan dibawa ke Dewan SMK Pak Badol Melor untuk melaksanakan simulasi mengundi melalui Program Amalan Demokrasi anjuran Jabatan Penerangan dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Program simulasi pilihan raya ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada situasi pilihan raya sebenar yang diadakan setiap lima tahun sekali dan ini merupakan satu proses amalan demokrasi yang dilaksanakan di Malaysia.

Penganjuran kali ini amat bertepatan dengan perkembangan semasa iaitu cadangan menurunkan kadar umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pendidikan awal kepada pelajar ini mendedahkan tata cara sesuatu pilihan raya itu dilangsungkan sebagaimana sistem pilihan raya yang diamalkan mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang diperuntukkan di dalam Akta Pilihan Raya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pengundi-pengundi sedang beratur menunggu untuk membuang undi

Pengundi-pengundi sedang beratur menunggu untuk membuang undi

Pengetua SMK Pak Badol, Nasir Shazali berkata beliau bersyukur kerana buat pertama kali sekolah ini terpilih untuk melaksanakan program yang sangat berfaedah kepada pelajar dan guru.

“Kita sentiasa memberi ruang kepada jabatan untuk mengadakan program di sekolah ini, program sebegini memberi lebih pengalaman kepada pelajar kerana mereka melakukan sendiri secara pratikal dan lebih dirasai keadaan sebenar ,” ujar beliau.

Menurut Mohamad Fathurrahman bin Mohamad Zainu, seorang pelajar dari SMK Pak Badol berkata, bertugas sebagai anggota polis untuk menjaga dan mengawasi kawasan tempat membuang undi memberikan beliau satu pengalaman tanggungjawab yang amat bermakna dan beliau juga memang bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai polis selepas tamat belajar nanti.

Program Amalan Demokrasi dan Simulasi Pilihan Raya telah Peringkat Daerah Bachok disempurnakan oleh Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Lim Ann Teck.

Hadir sama ialah wakil Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Dr. Amran bin Mustapha, Timbalan Pengarah Operasi Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Kelantan, Mohd Fadly bin Mohd Fauzi serta Pengetua SMK Pak Badol dan warga kerja Pejabat Penerangan Daerah Bachok.

– NAZ

Tinggalkan komen anda