Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Perangi Aedes Tanggungjawab Bersama

By 13 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 13 Jul (Malaysiakatif) – Sebanyak 221 kes denggi dengan peningkatan sebanyak 56.7% telah dicatatkan di negeri ini setakat minggu lepas berbanding cuma 141 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Azmi Ahmad menyatakan demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Perlis 2019 yang diadakan di Padang Awam Taman Kemajuan Kangar, di sini hari ini.

“Kita sangat bersyukur kerana belum ada kes kematian akibat denggi direkodkan di negeri ini dan saya meminta orang ramai atau saudara mara yang menghidap demam supaya cepat pergi mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Program ini bertujuan untuk mengalakkan kolaborasi atau kerjasama daripada pelbagai agensi dan meningkatkan penyertaan komuniti serta petubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) dalam usaha memerangi denggi di negeri ini khususnya.

Para tetamu jemputan melihat replika nyamuk aedes yang dihasilkan dari bahan-bahan terbuang oleh COMBI Negeri Perlis.

Para tetamu jemputan melihat replika nyamuk aedes yang dihasilkan dari bahan-bahan terbuang oleh COMBI Negeri Perlis.

Menurut Dr, Azmi lagi, terdapat 23 episod atau kawasan wabak denggi setakat minggu lepas dan salah satu strategi penting untuk mencegah demam denggi adalah dengan memperkasakan komuniti seperti COMBI yang melibatkan para sukarelawan dalam kalangan penduduk setempat bagi melaksanakan aktiviti pencegahan nyamuk seperti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan masing-masing.

“Saya meminta orang ramai supaya mengambil langkah pencengahan awal untuk membendung wabak denggi seperti menjaga kebersihan persekitaran rumah masing-masing supaya ia tidak menjadi lokasi tempat pembiakan nyamuk aedes,” tambahnya.

Menurut Pengerusi Persatuan COMBI Perlis Taharin Nayan, terdapat 34 lokaliti COMBI di Negeri Perlis sejak ia ditubuhkan pada tahun 2016.

“Kami bersyukur kerana kerajaan pusat telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM2 juta kepada persatuan COMBI di seluruh Malaysia,” katanya.

Sambutan Hari Denggi Asean telah ditetapkan pada 15 Jun setiap tahun dan tahun ini merupakan tahun ke-9 penganjuran dan Myanmar telah dipilih menjadi tuan rumah pada tahun ini dengan tema “End Dengue : Start With Me”.

Sambutan peringkat kebangsaan akan diadakan di Seri Iskandar, Perak dan akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan pada 28 Julai ini.

Untuk rekod, hasil pemantauan daripada Kementerian Kesihatan terdapat lebih 65 ribu kes denggi di seluruh Malaysia setakat 6 Julai, meningkat dua kali ganda berbanding 34,319 kes direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas dan 100 kematian dicatatkan berbanding 56 kes kematian pada tahun 2018.

Turut hadir Ketua Unit Promosi Kesihatan Pejabat Kesihatan Kangar, Zuraidah Zubir.

-SH

Tinggalkan komen anda