Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Program IKRaR 2019 Buka Peluang Jana Pendapatan Lumayan

Laporan/foto: Khairunnisa Abd Rahman/ Azreen Ahmad (Jasin)

JASIN, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menyempurnakan perasmian Program Industri Kenaf Rakan Rakyat (IKRaR) 2019 bertempat di Kampung Sempang Pantai, Merlimau, semalam.

Program anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) itu mendapat sambutan yang baik walaupun dalam keadaan hujan lebat tetapi mulai reda menjelang penghujung program.

Pelbagai aktiviti dijalankan sempena program IKRaR ini antaranya pameran dan jualan produk LKTN, pameran kucing, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan menganyam ketupat dan acara kemuncaknya adalah program kacau dodol.

Ketika sidang media, Shamsul turut menjelaskan bahawa kerajaan memperuntukkan pelbagai insentif bagi menyokong pembangunan industri kenaf di negara ini.

“Kerajaan menyediakan insentif penanaman kenaf bernilai RM2,385 sehektar bagi pengeluaran fiber dan RM2,955 pula bagi pengeluaran benih. Pada tahun ini RM6.25 juta diperuntukkan agar sasaran tanaman kenaf seluruh negara merangkumi pengeluaran fiber dan benih seluas 2500 hektar tercapai,” ujar Shamsul.

Majlis yang dianjurkan semalam itu turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara LKTN dengan Eco Paper Sdn Bhd berhubung dengan tanaman kenaf.

“Kita telah membuat Perjanjian Persefahaman (MoU) antara LKTN dan Eco Paper Sdn. Bhd. membabitkan komitmen kita menyediakan bahan mentah empulur sebanyak 1000 tan dalam tempoh 3 tahun dengan anggaran 300 tan setahun,” kata Shamsul.

Tambahnya lagi, “Ini merupakan sasaran kerajaan dan juga LKTN untuk kita melakukan inovasi terhadap produk-produk yang mempunyai nilai dan boleh kita kembangkan di peringkat hiliran dengan kerjasama daripada syarikat swasta.”

Sementara itu, salah seorang penduduk yang hadir dan mewakili Penggerak Harapan Rakyat, Mohd Faizal Daud, 31, turut berasa teruja dengan program IKRaR yang dianjurkan.

“Program sebegini seharusnya mendapat sambutan daripada golongan belia dan petani-petani. Saya melihat industri kenaf ni bakal memberikan pulangan lumayan kepada mereka,” kata Faizal.

Sebelum menjamu selera, Shamsul dibawa melawat gerai pameran, jualan dan sempat mengacau dodol bersama denga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Yuhaizad Abdullah.

Shamsul turut menghulurkan duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir ke majlis itu dan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan.

-KN

Tinggalkan komen anda