Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Rakyat Perlu Sokong Tujuh Teras Strategik Capai Kemakmuran Bersama

By 1 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus / Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Rakyat diseru untuk menyokong dan menghayati ketujuh-tujuh teras strategik mencapai kemakmuran bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan.

Menurut Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) Wilayah Persekutuan Labuan, Simsudin Sidek, ketujuh-tujuh teras iaitu Penstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan dan industri negara, Sektor pertumbuhan baharu, Reformasi bakat dan sumber tenaga negara, Memperbaiki Pasaran Buruh dan Pendapatan Pekerja, Memperkukuhkan kesejahteraan sosial, Pembangunan wilayah yang inklusif dan Peningkatan modal sosial masyarakat.

Teras-teras itu katanya bertujuan mencapai pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030.

Simsudin (dua dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kilan

Simsudin (dua dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kilan

“Marilah kita bersama-sama menyahut dan menjayakan agenda ini agar semua inisiatif di bawah Janji Kerajaan dipenuhi supaya pencapaian pada masa akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat berlandaskan shared prosperity (perkongsian kemakmuran),” katanya.

Jelasnya kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum lalu adalah satu amanah untuk dipikul bersama oleh semua pihak.

“Tampuk pemerintahan kembali diterajui Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah 15 tahun meninggalkan politik, kini kembali semula untuk mencorak kembali kegemilangan negara atas semangat kerjasama antara parti-parti politik di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

“Sudah tentu kemenangan itu bukan tiket untuk kita merasa selesa, malah amanah yang dipikul ini adalah satu tanggungjawab bersama dan perlu kita terjemahkan melalui kerja keras serta memberi sokongan kepada inisiatif-inisiatif pihak kerajaan yang ingin melihat rakyatnya hidup dalam keadaan makmur dan sejahtera,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Kampung Kilan dan Sepakat Komuniti Raya “Kemakmuran Bersama” Setahun Malaysia Baharu tahun 2019, semalam.

Simsudin menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis itu

Simsudin menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis itu

Sementara itu, Pengarah Penerangan Labuan, Supian Musa turut menyeru serta mengajak seluruh rakyat agar terus menyokong dasar-dasar kerajaan seperti tujuh teras strategik yang diumum Perdana Menteri baru-baru ini bagi memastikan matlamat kemakmuran bersama dapat dicapai.

“Ketujuh-tujuh teras yang mengangkat tema ‘Kemakmuran Bersama’ itu bertujuan mengatasi kepincangan dalam masyarakat dari segi hasil kekayaan supaya semua kumpulan masyarakat dapat menikmati dengan adil dan saksama.

“Sudah tentu ianya dikemukakan Perdana Menteri selepas satu kajian yang agak mendalam dibuat dan saya yakin kalau ini diterima dan kemudian dilaksanakan maka Malaysia menuju ke masa depan yang lebih maju, berjaya dan mengambil kira kepentingan semua masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.

Teks ucapannya disampaikan oleh Penolong Pengarah, Jabatan Penerangan Labuan, Abd Aziz Mohd Salleh.

Ketua Kampung Sungai Bangat, Osman Dullah (empat dari kanan) menerima hadiah pertandingan Keceriaan Cucul Sekampung daripada Simsudin

Ketua Kampung Sungai Bangat, Osman Dullah (empat dari kanan) menerima hadiah pertandingan Keceriaan Cucul Sekampung daripada Simsudin

Pada majlis itu, Simsudin turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan “Keceriaan Cucul Sekampung” anjuran MPPWP Labuan yang dijalankan pada Bulan Ramadhan lalu.

Kampung Sungai Bangat dinobatkan sebagai johan pertandingan diikuti Kampung Durian Tunjung dan Kampung Sungai Bedaun masing-masing ditempat kedua serta ketiga.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Labuan, Mohd Jurijh Abdullah, Timbalan Pengerusi MPPWP Labuan, Salim Abd Rahman dan Ketua Kampung Kilan, Mohd Hassan Kapal.

-EM

Tinggalkan komen anda