Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

SM St. Francis Convent Teruskan Legasi Pendidikan Berkualiti

By 21 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Jeanne J Som/ Hazlinah Samsir/ Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah St. Francis Convent (SMSFC) meneruskan legasi pendidikan berkualiti menerusi pembinaan bangunan baharu yang terletak di Bukit Padang.

Pembinaan yang bermula pada tahun 2014 itu selesai dibina sepenuhnya pada 18 November 2018.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan memberi tumpuan kepada sektor pendidikan sebagai agenda utama dalam menghasilkan modal insan mahir dan berkualiti demi memacu pembangunan negara.

“Semenjak penubuhannya, sekolah ini mengeluarkan ramai pelajar perempuan berpendidikan tinggi dan terdapat di kalangan mereka menjadi pemimpin masyarakat.

“Dengan adanya bangunan sekolah baharu ini, peluang ini akan berterusan kerana pelaburan dalam pengetahuan akan menghasilkan pulangan yang besar.

“Diharapkan, para guru meneruskan usaha gigih untuk memberikan para pelajar pendidikan yang terbaik demi mencapai kecemerlangan akademik sekarang dan di masa akan datang,” jelasnya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jenifer Lasimbang dalam Majlis Perasmian Bangunan SMSFC, pada Sabtu.

Tambah Shafie, pendidikan pada masa kini perlu diterapkan nilai sayangi alam sekitar melalui program sekolah hijau bagi memelihara dan memulihara alam kita.

Kegigihan para guru dalam mendidik serta kerjasama erat yang diberikan dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memastikan kredibiliti sekolah terus menyentuh hati pelajar dan alumninya.

Ann Carnelian Libamin

Ann Carnelian Libamin

Salah seorang bekas pelajar SMSFC, Ann Carnelian Libamin yang suatu ketika dahulu menyandang jawatan ketua pengawas pada tahun 2014 berkata, guru-guru dan PIBG sentiasa berganding bahu dalam menyokong aktiviti pelajar-pelajar dari segi akademik mahupun kokurikulum.

“Kami amat terhutang budi kepada mereka semua dan harapan saya serta alumni  tahun 2014 agar pelajar SMSFC sekarang ini jangan pernah berputus asa dalam mencapai impian dan meneruskan pengajian hingga ke menara gading,” ujarnya yang kini menuntut di Universiti Malaya.

Datuk Katherine Lee Mei Oi.

Datuk Katherine Lee Mei Oi.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara, Datuk Katherine Lee Mei Oi merupakan antara contoh pelajar keluaran sekolah berkenaan yang bejaya dalam memberikan bakti kepada masyarakat.

“Apabila mengenang kembali kenangan menuntut di sekolah ini, pasti saya akan tersenyum kerana terharu mengenangkan komitmen dan dedikasi para pendidik sepanjang saya bersekolah di sini.

“Meski terdapat beberapa matapelajaran yang tidak menjadi kegemaran saya, inisiatif guru-guru berjaya menarik minat saya dan membuatkan saya mendapat keputusan yang agak baik.

“Saya berharap, sukatan pembelajaran dan pendidikan yang berkualiti diteruskan untuk generasi masa kini dan akan datang agar negara kita terus maju dan mempunyai bakal pemimpin yang berkaliber,” kongsinya kepada media.

Jawatankuasa Pembinaan SMSFC, termasuk Persatuan Ibubapa & Guru (PIBG) dan alumninya bertungkus lumus bagi mendapatkan pembiayaan melalui kerajaan dan juga syarikat swasta dan para penderma untuk merealisasikan sekolah baharu itu.

0ef9eda2-cb46-4741-939d-adb2a524714b

Salah seorang tenaga pengajar SMSFC, Sr. Carmen Cardova berterima kasih atas kerjasama dan sokongan yang tidak pernah putus diterima bagi sekolah tersebut.

“Terima kasih kepada semua alumni, pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang telah banyak berkorban tenaga, wang, masa dan komitmen yang tinggi dimana semua ini saya simpulkan sebagai kasih sayang, keprihatinan demi menubuhkan sekolah ini.

“Legasi ini akan diteruskan sampai bila-bila, sokongan yang padu ini kami harap akan berterusan dalam pelbagai aspek melalui acara atau aktiviti yang bakal dijalankan,” ujarnya.

KENANGAN....Jenifer (empat dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Wong (tiga dari kiri), Mary (empat dari kanan), Theresa (kiri), Paul (tiga dari kanan) dan Dymphna (kanan)

KENANGAN….Jenifer (empat dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Wong (tiga dari kiri), Mary (empat dari kanan), Theresa (kiri), Paul (tiga dari kanan) dan Dymphna (kanan)

Pembinaan sekolah baru ini adalah untuk menggantikan sekolah lama yang telah usang dan tidak mampu menampung pelajar-pelajar yang kian meningkat jumlahnya saban tahun.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Pendidikan, Dr. Mistrine Radin, Ketua Uskup Kota Kinabalu, Datuk John Wong Su Kau, Rektor Kathedral Sacred Heart, Rev. Paul Lo, Pengetua SMK St. Francis Convent, Theresa Chong, Lembaga Gabenor (Pembinaan Sekolah), Mary Florence Gomez, Presiden Persatuan Alumni St. Francis Convent, Dymphna Ubing dan Ketua PIBG, Roger James Maga.

-ER

Tinggalkan komen anda