Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Atlet Veteran Labuan ‘Sapu’ Sembilan Emas

By 24 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Persatuan Olahraga Labuan (POAL) menerusi atlet-atlet veterennya berjaya membawa pulang sembilan emas di 31st Brunei Master Open Athletics Championship Track & Field sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Brunei di Kompleks Mini Berakas, Brunei Darusallam baru-baru ini.

Pengurus pasukan Labuan Rosni Aliskah, berkata Kontinjen Labuan yang diwakili 15 atlet yang terdiri daripada enam wanita dan sembilan lelaki memperolehi sembilan pingat emas, sembilan pingat perak dan sembilan pingat gangsa.

“Atlet yang meraih pingat emas ialah Datuk Abdol Mulok Awang Damit yang memenangi dua emas menerusi acara 80 meter lari berpagar dan lompat jauh bagi kategori umur 65-69 dan Martha Basa Lokman menerusi acara melempar cakera bagi kategori 40-44 tahun.

Atlet-atlet veteran Labuan yang menyinar di bumi Brunei.

Atlet-atlet veteran Labuan yang menyinar di bumi Brunei.

“Pingat emas ketiga dan keempat diperolehi menerusi Nur Aishah Pelagia Joseph bagi kategori 50-54 dalam acara 100 meter dan 800 meter selain Norhani Jaafar dalam acara 400 meter bagi kategori 30-34 tahun.

“Turut menyumbang pingat emas iaitu Abd.Harah@Awang menerusi lari berpagar bagi kategori 50-54 manakala Suwito Kardo dalam acara 400 meter dan 800 meter kategori 50-54 tahun,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Rosni yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Labuan mengucapkan tahniah atas kejayaan atlet veteran Labuan itu dan berharap mereka akan meneruskan kejayaan pada masa akan datang.

Kejohanan tersebut turut disertai atlet-atlet dari Sri Lanka, India, Sabah, Indonesia, Filipina, Singapura, Perak, Selangor, Melaka dan Brunei.

-SH

Tinggalkan komen anda