Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Belia Berwawasan Pasak Kukuh Perpaduan Masyarakat

By 28 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: RA Othman/ Mohd Afnan Hakimi (Marang)

MARANG, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme tetapi belia Kampung Tebakang turut membuktikan mereka adalah belia berwawasan dan harmoni yang cintakan perpaduan. Dengan pasak yang kukuh ini membolehkan Persatuan Belia Setia Pakat Kampung Tebakang menggondol Johan Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Negeri dan Kebangsaan bagi tahun 2018.

Memetik kata Pengerusi Persatuan Belia Setia Pakat (Sepakat), Abdul Karim Ibrahim, 32, kemenangan yang diraih adalah hasil usaha sama persatuan dan juga penduduk setempat Kampung Tebakang.

“Kami percaya belia memainkan peranan penting dalam suatu masyarakat. Oleh kerana pasak yang kukuh inilah menjadikan Persatuan Belia Sepakat dapat terus kekal aktif dan sekaligus diberi kepercayaan untuk membangunkan pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan”, tambah beliau.

Bersempena kemenangan ini juga, Persatuan Belia Sepakat dengan kerjasama Pejabat Penerangan Marang telah mengadakan majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 bagi membuktikan semangat patriotisme para belia masih lagi utuh.

Tanpa mengira usia, penduduk Tebakang bersatu hati melaungkan Merdeka demi maruah negara tercinta

Tanpa mengira usia, penduduk Tebakang bersatu hati melaungkan Merdeka demi maruah negara tercinta

Tema “Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih” adalah sejajar dengan mesej dan seruan untuk terus menyayangi negara tercinta. Teras kepercayaan dan kesepaduan kalangan masyarakatlah sebenarnya yang menjadikan perpaduan terus erat dan kukuh.

“Bersih bukan sahaja bersih persekitaran malah kami di sini menekankan kebersihan jiwa dan nurani supaya keamanan dan kesejahteraan kampung kami terus kekal dan menjadi contoh kepada masyarakat lain”, tambah Abdul Karim.

Persatuan Belia Sepakat telah menerima Anugerah Perdana Belia Negara di peringkat Kebangsaan 2018 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 15 Mei yang lalu dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 sempena sambutan Hari Belia Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

 Encik Abdul Karim Ibrahim, Pengerusi Persatuan Belia Setia Pakat (Sepakat) Tebakang menerima hadiah bagi Johan Anugerah Perdana Belia Negara yang disampaikan oleh Perdana Menteri pada 15 Mei lalu

Encik Abdul Karim Ibrahim, Pengerusi Persatuan Belia Setia Pakat (Sepakat) Tebakang menerima hadiah bagi Johan Anugerah Perdana Belia Negara yang disampaikan oleh Perdana Menteri pada 15 Mei lalu

Persatuan Belia Sepakat pernah menjadi naib johan bagi anugerah yang sama di peringkat kebangsaan pada tahun 1990, johan peringkat daerah Marang pada 2011, naib johan bagi peringkat negeri Terengganu pada 2013, dan johan di peringkat negeri Terengganu dua kali berturut-turut pada 2017 dan 2018 sebelum menjadi juara peringkat kebangsaan 2018.

-II-

Tinggalkan komen anda