Laporan/ foto: Mastika Hablum/ Khairunnisa Abd Rahman (Jasin)
JASIN, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Usaha gigih guru Pendidikan Islam, Norhasikin Husin yang turut menggalas jawatan sebagai Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau menjadikan Kelab Malaysiaku sebagai kelab yang paling digemari oleh pelajar – pelajar.
“Apa yang saya dapati, kelab ini memberi input yang amat banyak dari aspek memupuk semangat perpaduan dan cintakan tanah air.
“Di samping itu saya suka menerapkan aspek kerohanian dengan menanamkan kefahaman tentang hak dan kepentingan setiap individu dalam masyarakat pelbagai kaum,” ujarnya.
Beliau yang memulakan perkhidmatan sebagai Guru di SMK Tun Perak pada tahun 2002 dan bertukar ke SMK Dang Anum pada 2004 sehingga kini dikekalkan selama 17 tahun menjadi Guru Penyelaras kelab ini.
Pengisian program Merdeka@Komuniti Wacana Merdeka yang dianjurkan pada hari ni bukan sahaja meliputi keahlian dari Kelab Malaysiaku malah keseluruhan pelajar sekolah ini mendapat manfaatnya.
Menurut Pengerusinya, Amar Aiman Mala, 17, “program ini adalah acara tahunan dan dengan penganjuran pertandingan seperti nyanyian lagu patriotik, solidariti anak merdeka dengan mencetak kain rentang corak Jalur Gemilang, gubahan Jalur Gemilang, kuiz kenegaraan serta tayangan video kenegaraan merupakan kemuncak acara pada tahun ini.”
Melalui pengisian program seperti ini, keseluruhan pelajar dapat ditiupkan semangat patriotisme dan cintakan negara khususnya pada pelajar sekolah ini yang mungkin menjadi pemimpin generasi akan datang.
-KN