Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sekolah Rukun Negara Didik Belia Tanggungjawab Sebagai Rakyat Malaysia

By 30 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Mohd Nashruddin Mohd Shah (Johor Bahru)

KOTA TINGGI, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Sekolah Rukun Negara (SRN) merupakan hasil cetusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendedahkan golongan muda kepada amalan demokrasi negara.

Program SRN bagi peringkat Negeri Johor yang julung kali diadakan telah dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Johor di Dewan Kejora Bandar Penawar, Kota Tinggi, di sini, semalam.

Program Sekolah Rukun Negara yang diadakan di Dewan Kejora Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.

Program Sekolah Rukun Negara yang diadakan di Dewan Kejora Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.

Program ini melibatkan seramai 200 pelajar Institut Sains dan Teknologi Darul Ta’zim (INSTEDT) Bandar Penawar dan Kolej Profesional Mara yang berusia di antara 14 hingga 25 tahun termasuk peserta dari Majlis Belia Negeri Daerah Kota Tinggi, Johor Bahru, Mersing dan Kulai.

Program SRN memberi pendedahan kepada generasi muda yang merupakan pewaris negara tentang tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, memupuk rasa cintakan negara di samping melahirkan generasi yang berfikiran strategik dan minda yang bersih.

Nur Fatihah Sariat, pelajar dari INSTEDT yang menyertai program SRN.

Nur Fatihah Sariat, pelajar dari INSTEDT yang menyertai program SRN.

Pelbagai pengisian yang menarik telah disusun oleh Akademik Pilihan Raya seperti Rukun Negara, undi 18 tahun, klik dengan bijak dan pendidikan mengundi termasuk pameran daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Penerangan Negeri Johor.

Seorang peserta dari INSTEDT, Nur Fatihah Sariat, 19, merasa bangga terpilih untuk menyertai program ini yang banyak memberi dan meningkatkan pengetahuan dalam mentransformasikan nilai-nilai demokrasi serta mendidik tentang tanggungjawab sebagai pengundi selain dapat sesi ceramah yang memberi pelbagai input yang berguna.

Sesi ceramah oleh Pegawai Akademik Pilihan Raya.

Sesi ceramah oleh Pegawai Akademik Pilihan Raya.

Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Johor Fadhilah Ahmad, dalam ucapannya berkata, “Program ini bertujuan memberi penerangan dan pengukuhan kefahaman berkaitan pendidikan kenegaraan berteras perlembagaan selain meningkatkan semangat jati diri, ketaatan dan kesetiaan kepada negara ke arah pembangunan modal insan”.

“Program SRN merupakan platform yang berkesan dalam memupuk kesedaran tentang kepentingan semangat kenegaraan, patriotik, nilai tadbir urus negara dikalangan generasi muda,” ujarnya lagi.

Wakil rasmi Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mahathir Abdul Shukor di dalam ucapan perasmian penutupnya menyeru generasi muda untuk bersama-sama menggalas tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

“Generasi muda harus merasa bangga menjadi rakyat yang telah lama merdeka selain menikmati keunikan dan keindahan perpaduan serta berbakti kepada masyarakat, negara dan bangsa,” katanya lagi.

Turut hadir Pengurus Besar Kejora, Norazman Osman.

-NI-

Tinggalkan komen anda