Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Hari Bersejarah Luak Jelebu

By 22 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah (Jelebu)

JELEBU, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Istiadat Pertabalan Undang Luak Jelebu ke-16, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad melakarkan sejarah yang sekaligus menjadi titik noktah bagi kemelut perlantikan Dato Undang ke-16, apabila beliau dilantik secara sah, di sini hari ini.

Dato’ Maarof merupakan anak kelima daripada enam orang adik beradik dan pernah menabur bakti sebagai seorang guru dan menjawat jawatan Pegawai Pendidikan Daerah Jelebu sehingga tahun 2019.

Beliau yang pernah mendapat Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) diisytiharkan sebagai Penyandang Pesaka Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Undang Luak Jelebu ke-16 dalam kerapatan di Telapak Kampung Kemin pada 26 Jun 2018 yang lalu, disaksikan oleh Dato-Dato Lembaga Delapan Luak Jelebu, Buapak, Ibu Soko dan Anak-Anak Buah.

WhatsApp Image 2019-08-21 at 17.37.22

Istiadat “Haluan Sembah” oleh YM Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari.

Pengisytiharan ini disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 18 Februari 2019.

Menurut Dato’ Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Rashad, adat pusaka yang menjadi warisan berzaman ini seharusnya dipertahankan dan dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Selaku Dato’ Undang Luak Jelebu ke-16, saya memohon dan mengharapkan agar seluruh rakyat luak Jelebu sentiasa bersama kami untuk menjaga talian adat dan talian pesaka luak Jelebu ini dengan penuh tanggungjawab dan beradab.

“Adalah dengan ini kami mengharapkan agar majlis yang bersejarah ini dapatlah kiranya dibukukan untuk dijadikan sebagai bahan rujukan kepada generasi anak muda di Luak Jelebu di masa akan datang,” katanya selepas Upacara Istiadat Pertabalan Undang Luak Jelebu, di sini baru-baru ini

WhatsApp Image 2019-08-21 at 17.37.09

Pemangku Pegawai Daerah Jelebu, Wan Mud Shardihan bersama kumpulan persembahan Orang Asli.

Upacara Istiadat Pertabalan dimulakan dengan Istiadat Bersiram diikuti dengan istiadat menyembelih kerbau yang dilaksanakan di Telapak Kemin, sebelum perarakan dimulakan dari Kemin mengelilingi pekan Kuala Klawang sehingga ke Pintu Gerbang Balai Undang sambil diiringi oleh persembahan tradisional kepelbagaian kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli disepanjang laluan perarakan.

Upacara Pertabalan tersebut akan selesai pada 25 Ogos 2019 ini di Balai Undang Luak Jelebu dengan Istiadat Menurunkan Alat Kebesaran.

-AK

Tinggalkan komen anda