Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Konvoi KMJG Gelorakan Semangat Merdeka

By 22 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution/Fauziah Abdullah (Seremban)

SEREMBAN, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak 20 kenderaan telah menyertai konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Daerah Seremban 2019 bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan, di sini semalam.

Konvoi yang membabitkan jarak perjalanan sejauh 100 kilometer menelusuri kawasan pinggir bandar dan kampung di daerah Seremban ini bermula dari Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban, Sekolah Kebangsaan King George V, Kolej Antarabangsa Unifield, Bazar Sentral Nilai 3 dan berakhir di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu.

Menurut Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin, beliau berharap agar konvoi KMJG ini dapat mencapai matlamat untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang dalam kalangan masyarakat di daerah ini.

WhatsApp Image 2019-08-21 at 16.07.20

Kee Chin ketika berucap.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan budaya mempunyai tanggungjawab untuk menanam semangat cintakan negara dalam diri masing-masing. Justeru, semua pihak perlu bekerjasama dan memainkan peranan untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan negara ini berkekalan,” katanya ketika berucap sempena majlis.

Tambah Kee Chin, program seumpama ini mampu meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

“Adalah menjadi tanggungjawab asas kita untuk mempertahankan kedaulatan negara ini dan memastikan negara ini tidak dijajah semula,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Konvoi KMJG Azlan Abdullah, berkata sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada lima prinsip Rukun Negara, kita perlulah menghormati lambang-lambang negara dan salah satunya adalah Jalur Gemilang.

Turut terlibat dalam konvoi ini ialah gabungan pelbagai agensi kerajaan antaranya ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Jabatan Perhutanan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau Yap Yew Weng dan Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim.

-AK

Tinggalkan komen anda