Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Hias Kereta RM127,000 Demi Sambutan Hari Kebangsaan

By 13 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Azizan Md Sidi (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Sejak lebih 20 tahun, M. Kandapan, 59, tidak pernah melepaskan peluang untuk menyambut ketibaan bulan kebangsaan dengan gayanya yang unik dan tersendiri.

Beliau sangat terkenal dengan gaya pemikirannya yang kreatif dalam menghiasi kediaman dan kenderaan-kenderaan miliknya dengan bendera Jalur Gemilang, bendera negeri-negeri dan juga turut menempah khas poster-poster yang memaparkan gambar pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh terkenal tanah air yang dilekatkan di sebuah pintu gerbang khas serta di kawasan rumahnya.

Bagi sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini, Kandapan telah memasang pelekat khas yang memaparkan wajah Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada kereta yang baharu dibelinya.

Pelekat tersebut turut memaparkan reka bentuk bendera Jalur Gemilang, gambar wajah beliau dan cucu-cucunya yang lengkap berpakaian Jalur Gemilang serta gambar bunga kebangsaan, Bunga Raya.

Rumah Kandapan di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang yang dihiasi dengan bendera Jalur Gemilang dan poster-poster pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh terkenal tanah air.

Rumah Kandapan di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang yang dihiasi dengan bendera Jalur Gemilang dan poster pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh terkenal tanah air.

“Saya membeli kereta ini dengan harga RM127,000 dan telah membelanjakan lebih kurang RM3,000 untuk menempah dan memasang pelekat khas ini,” jelasnya.

Beliau turut bercadang untuk menyertai perarakan Hari Kebangsaan pada tahun ini di Putrajaya dengan membawa kenderaan utiliti sukan nasional yang telah lengkap dihias dan berharap dapat bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya mahu berjumpa dan menyerahkan potret perdana menteri yang saya reka sendiri bagi mendapatkan tandatangan beliau,” katanya lagi.

Kandapan juga turut memperuntukkan lebih lima ribu bendera tangan untuk diedarkan ke sepuluh buah sekolah kebangsaan di sekitar daerah Johor Bahru.

Terdahulu, kediaman beliau telah dinilai oleh Pegawai Penerangan Daerah Johor Bahru, Norhasiswana Rasion bagi Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2019 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

-NI-

Tinggalkan komen anda