Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

PeKa B40: Bukti Kerajaan Peka Keperluan Rakyat

By 3 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Siti Fazilah Binti Derahman (Pasir Mas)

PASIR MAS , 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Kebiasaannya rakyat mengharapkan wang tunai sebagai bantuan namun aspirasi Kerajaan Baharu nyata lebih bersasar dan berfaedah dengan menyediakan bantuan berupa alat perubatan bernilai RM20,000 untuk penerima Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40).

Seramai 80 orang masyarakat Kampung Tendong dan sekitarnya menyertai Program Pencernaan Minda anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pasir Mas dengan kerjasama Hospital Pasir Mas yang berlangsung di Dewan KADA Tendong.

Menurut Pegawai Sosial Perubatan Hospital Pasir Mas, Mohd Azri Mohd Khalid berkata kerajaan menyediakan inisiatif sebanyak RM20,000 seumur hidup kepada rakyat berusia 50 tahun ke atas bersama pasangan yang berdaftar dan menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk mendapatkan khidmat PEKA B40.

“Golongan ini layak dibantu untuk mengurangkan bebanan kewangan jika mereka perlu membayar kos bagi alat bantuan perubatan seperti alat bantuan pendengaran, kerusi roda, pembekalan anggota palsu, pembekalan alat rawatan jantung, pernafasan, implan dan sebagainya, sedikit sebanyak kos perbelanjaan ini boleh dilunaskan dengan bantuan PeKa B40 ini,” ujar Mohd Azri.

Kata beliau lagi, “Selain manfaat bantuan alat perubatan, penerima juga akan mendapat perkhidmatan saringan kesihatan, insentif rawatan kanser dan subsidi pengangkutan untuk ke hospital.”

Antara hadirin yang hadir

Antara hadirin yang hadir

Beliau juga menyeru orang ramai yang hadir agar ‘Peduli Kesihatan’ mereka sebagaimana seruan kerajaan dan melakukan saringan kesihatan di klinik kesihatan kerajaan atau panel yang berdekatan.

Anita Ismail, 46, menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana mengadakan program sebegini bagi meringankan bebanan rakyat walaupun umur beliau belum layak untuk menerima manfaat dari PeKa B40 ini, namun beliau mengharapkan agar bantuan ini diteruskan kerana beliau juga seorang penerima BSH.

Seorang surirumah, Noraini Jaafar, 47, berkata bantuan yang diberikan kerajaan pada hari ini sangat bermakna buat penerima BSH yang layak untuk menerima manfaat daripada PeKa B40 ini kerana kebanyakkan mereka sudah tidak mampu untuk bekerja dan ini dapat meringankan beban kewangan terutama bagi yang mempunyai penyakit serius dan memerlukan kos perubatan yang tinggi.

Manfaat Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) ini perlu segera direbut oleh rakyat dan ini merupakan projek perintis yang mensasarkan 800,000 orang penerima bagi meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan serta memberi sinar harapan baharu dalam menjalani kehidupan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda