Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kerajaan Pusat Prihatin Keperluan Kerajaan Negeri – Mohamed Azmin

By 30 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Mohd Fazli Zulkifli / Sharifah Nurrul (Pahang) 

KUANTAN, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Sudah menjadi tanggungjawab sebagai Kerajaan Persekutuan untuk membantu Kerajaan Negeri Pahang dalam aspek pengurusan dan pembangunan infrastruktur, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata keperluan itu dibuat atas pertimbangan sebahagian besar kawasan di negeri Pahang merupakan kawasan tadahan air yang mana ia tidak dapat dibangunkan kerana melibatkan kos yang tinggi. Justeru, kerajaan pusat akan terus mengkaji cara untuk mempertingkatkan nilai peruntukan bagi aktiviti pengurusan air dan pembangunan infrastruktur.

Selain itu, aspek penyelenggaraan empangan air juga memerlukan kos yang besar.

Beliau berkata, “Pengurusan air adalah kekal di bawah pengurusan kerajaan negeri namun Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan melihat keperluan dalam membangunkan aset air yang sudah pasti memerlukan jumlah yang besar untuk dinaiktaraf.”

Mohamed Azmin berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan peruntukan berjumlah RM3 juta kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi tujuan menaik taraf Masjid Sultan Ahmad 1, Kuantan, semalam.

Beliau juga berkata, antara cara untuk mengurangkan NRW (Non-Revenue Water) ialah dengan menggantikan paip lama bagi memastikan tiada kebocoran selain membanteras kecurian air yang memerlukan kerjasama baik antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri.

Selain aspek air, Mohamed Azmin berkata, bantuan pembangunan turut diberikan melalui peruntukan yang sewajarnya kepada negeri Pahang, bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di negeri ini.

Sebagai contoh, Mohamed Azmin merujuk kepada Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 yang dipengerusikan bersama Wan Rosdy yang menyaksikan Pahang menerima sebanyak RM2.42 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek di Pahang.

“Sebahagian daripada projek ini melibatkan projek yang besar dan penting kepada rakyat Pahang, seperti pembangunan Hospital Maran yang telah tertangguh lama. Difahamkan ianya kerana isu tanah yang kini telah dapat diselesaikan dan kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan supaya projek ini dapat bermula segera.

“Selain itu, kita juga akan melihat bagaimana pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat memberi manfaat kepada rakyat kerana kita tidak mahu pelaburan besar seperti ini tidak mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM3 juta kepada masjid itu, ia diluluskan bagi kerja menaiktaraf yang amat wajar dilakukan melibatkan pembaikan struktur bumbung yang bocor, aspek pendawaian dan sistem bunyi.

“Ia merupakan sebahagian usaha bersama untuk melihat bagaimana institusi masjid dan surau dapat terus diimarahkan demi kesejahteraan umat Islam di negeri ini,” ujarnya lagi.IMG-20190830-WA0018

Tinggalkan komen anda