
Laporan/foto: Asmidar Zainol/Ahmad Sarujin Seting (Kota KInabalu)
KOTA KINABALU, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Pihak kerajaan dan swasta perlu bersiap sedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah perlu bersedia dengan perkembangan revolusi berkenaan bagi mengelak daripada ketinggalan.
“Kita sedar dan tahu sistem yang ada pada hari ini mungkin akan lapuk dalam jangka masa yang pendek dan kalau kita tidak dapat sesuaikan daripada segi ilmu pengetahuan dan keupayaan kita dalam industri ini kita akan ketinggalan.
“Ini memerlukan kesedaran untuk kita bukan hanya menyediakan prasarana daripada segi infrastruktur, polisi, dasar dan inisiatif untuk membolehkan supaya kita dapat melahirkan tenaga manusia, usahawan yang ingin melabur dalam sektor-sektor ini.
“Saya dapati banyak inisiatif yang sedang dilakukan oleh pihak kerajaan dan swasta seperti kita dapati bahawa (syarikat) telco sama ada Celcom, TM yang terbabit (hari ini).
“Kita mempunyai prasarana seperti Sabah.Net, Warisan Harta dan SEDCO yang boleh memainkan peranan untuk memastikan supaya prasarana yang disediakan dapat mempermudah supaya pemain industri boleh memanfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya.
Shafie turut berkata, dengan adanya IR4.0 tidak menjejaskan peluang pekerjaan di negeri ini.
“Kita akan lihat daripada segi kerangka mana, sektor mana yang kita mahukan supaya ruang dan peluang pekerjaan juga harus kita lahirkan.
“Ia tidak boleh menjadi automasi semata-mata tetapi perlu juga menawarkan peluang pekerjaan kerana kita sedar ada 5000 anak-anak yang keluar dari universiti setiap tahun dan di mana mereka mendapat peluang pekerjaan sekiranya sebahagian besar daripada sektor yang kita bagi tumpuan kurang peluang pekerjaan kerana menggunakan autonomi.
“Ini kita perlu lihat supaya ia seimbang dalam memastikan tenaga pekerja mencukupi dan tidak ketinggalan dalam IR4.0,” jelas beliau kepada media selepas merasmikan Sabah IT Symposium 2019 di Dewan Bankuasi Utama, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah pada Isnin.
Seramai 408 peserta yang terdiri daripada pemain industri, pegawai teknologi maklumat kerajaan dan swasta, pensyarah serta pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi swasta dan awam.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKNS), Ernywati Dewi Abas berkata, penganjuran seminar berkenaan adalah bagi memberi kesedaran berkenaan IR4.0 kepada mereka yang terlibat dalam bidang Teknologi Maklumat (IT).
“Kita berharap melalui program anjuran bersama di antara JPKNS, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sabah.Net akan dapat mendidik dan memberi kefahaman kepada para peserta mengenai IR4.0.
“Seminar julung kali dianjurkan ini juga menjadi platform untuk berbincang dan menjalinkan jaringan kerjasama antara pihak kerajaan, pihak universiti dan pemain industri.
“Kita akan mengumpul semua maklumat baru yang dibentangkan dan dibawa ke peringkat seterusnya untuk penilaian sama ada boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Hadir sama pada program ialah Naib Canselor UMS, Profesor Dr Taufik Yap Yun Hin dan Pengarah Urusan Sabah.Net, Liawas Barukang.
ER