Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Logo dan Maskot SUKMA XX Johor 2020 Dilancar

By 8 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Muhd Shariffudin  Abd Razak/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU,  8 Ogos (Malaysiaaktif) – Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang akan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai 2020 di Negeri Johor menampilkan maskot harimau yang diberi nama Jimi sebagai simbol Harimau Selatan.

Jimi dipilih sebagai maskot rasmi untuk temasya SUKMA kali ini mengetengahkan ciri-ciri keberanian, kehebatan dan tidak berputus asa seekor harimau dan ia juga menampilkan ciri-ciri Kesultanan Melayu sejak zaman berzaman.

Sementara itu, logo SUKMA 2020 pula bercirikan tulisan Jawi melalui huruf ‘Jim’ yang mewakili negeri Johor yang turut digabungkan menjadi obor temasya dan menjadi kebanggaan Bangsa Johor yang masih memartabatkan tulisan Jawi.

Majlis Pelancaran SUKMA XX Johor 2020 di Hotel Impiana Senai.

Majlis Pelancaran SUKMA XX Johor 2020 di Hotel Impiana Senai.

Manakala slogan ‘Semarak Juara’ yang diletakkan di dalam logo pula merupakan laungan bagi menyahut cabaran memperkasakan semangat kesukanan serta kegemilangan sukan, tidak ketinggalan juga khazanah alam negeri seperti gambir dan lada hitam turut menjadi elemen dalam penghasilan logo kali ini.

Majlis pelancaran logo dan maskot SUKMA 2020 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor Dato’ Dr. Sahruddin Jamal di Hotel Impiana, Senai.

Dr. Sahruddin dalam ucapannya berkata, Negeri Johor dan harimau berpisah tiada dan maskot temasya sukan ini yang menampilkan harimau yang tampak comel dan mesra, namun ianya agresif, garang dan akan mengaum dengan semangat ‘Semarak Juara’ ketika bersukan.

Menteri Besar Johor Dato' Dr. Sahruddin Jamal (tengah) sewaktu sidang media di Hotel Impiana, Senai.

Menteri Besar Johor Dato’ Dr. Sahruddin Jamal (tengah) sewaktu sidang media di Hotel Impiana, Senai.

“Elemen Johor seperti motif gambir dan lada hitam dan pembudayaan jawi diterapkan dalam logo temasya yang amat dibanggakan ini,” katanya lagi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Sheikh Umar Ali, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Datuk Mohd. Noorazam Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma XX Johor 2020 On Jabar.

-NI-

Tinggalkan komen anda