Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Merdeka@Komuniti: Perpaduan Nikmat Berharga

By 28 Ogos 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Asmah Mat Ali (Ipoh)

IPOH, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – “Sakit sama mengaduh luka sama menyiuk. Inilah saatnya bagi kita semua bersatu dan teguh bersama dalam menumpahkan rasa taat setia dan meluahkan kecintaan buat negara Malaysia yang tercinta,” ujar Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak Mohd Hafeez Mubin Mohd Salleh.

Mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu, Hafeez mengingatkan semua rakyat agar bersyukur dan berasa bertuah menjadi sebahagian daripada warga negara yang berdaulat dan merdeka kerana dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmoni, aman dan sejahtera.

“Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya, kerana itu ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan negara dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa dan maruah menjadi taruhan.

“Sebagai warga Daerah Kinta khususnya di Parlimen Tambun ini dan negara Malaysia sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kita semua untuk menjadi nadi dan tenaga penggerak utama dalam arus pembangunan Negara,” ujarnya yang ditemui dalam majlis Program Merdeka@Komuniti Peringkat Parlimen Tambun di Sekolah Kebangsaan Jelapang, di sini hari ini.

Program anjuran bersama Komuniti Harapan Parlimen Tambun dan Jabatan Penerangan Perak ini turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada ibu-bapa pelajar dan warga sekolah tersebut.

-SH

Tinggalkan komen anda