Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Pelajar diingat Cakna Sejarah dan Hayati Rukun Negara

By 24 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang / Sumardi Sugiman (Kuching)

BAU, 24 Ogos (Malaysiaaktif) –  Penglibatan tiga buah sekolah di Daerah Bau dalam program Kembara Kibar Jalur Gemilang sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Bau merupakan satu pengiktirafan kepada warga sekolah bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Paku, Sekolah Kebangsaan (SK) St. Stephen Bau dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bau. Pemilihan warga pelajar adalah bertujuaan menerap serta menyemai nilai-nilai murni dan patriotik agar mereka memahami erti kemerdekaan yang dirai pada setiap tahun.

Uniknya sambutan Bulan Kebangsaan di Bau selain penglibatan tiga buah sekolah, tetamu kehormat dan ketua-ketua jabatan juga turut serta di dalam konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang bermula dari Pekan Bau ke SMK Paku. Persinggahan pertama di SK St. Stephen Bau dan seterusnya ke SJK Chung Hua Bau.

Para pelajar dari SK St Stephen Bau mengibarkan Jalur Gemilang sementara menyambut ketibaan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang

Para pelajar dari SK St Stephen Bau mengibarkan Jalur Gemilang sementara menyambut ketibaan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang

Di SK St Stephen konvoi ini disambut oleh seramai 235 pelajar dan warga pendidik.  Manakala  di SJK Chung Hua seramai 315 pelajar dan warga pendidik menyambut kehadiran konvoi.

Sementara di SMK Paku berlangsung acara perasmian dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti bersempena dengan program tersebut.

Mankala di dewan SMK Bau lebih 500 orang hadir terdiri pelajar berbilang kaum, warga sekolah dan ketua masyarakat menyambut kehadiran konvoi KMJG. Suasana meriah dapat dirasai oleh segenap  hadirin yang terlibat.

Persembahan Gendang oleh pelajar SJK Chung Hua Bau bagi merai kehadiran konvoi KMJG di dewan sekolah

Persembahan Gendang oleh pelajar SJK Chung Hua Bau bagi merai kehadiran konvoi KMJG di dewan sekolah

Program tersebut telah dirasmikan oleh Wakil Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi. Turut hadir ialah  wakil Pegawai Pelajaran Daerah Bau serta ketua-ketua jabatan kerajaan terdiri dari PDRM, Jabatan Bomba & Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Pejabat Kesihatan, KEMAS, Pengetua SMK Paku, Guru Besar SK. St Stephen dan SJK Chung Hua Bau termasuk Pemanca serta  Penghulu.

Sementara itu, Ambrose Jarit di dalam ucapannya menyeru para pelajar sekolah agar menguasai subjek Sejarah kerana di dalamnya terkandung  banyak maklumat berkenaan dengan sejarah tanahair.

“Generasi muda terutamanya para pelajar seharusnya menghayati Rukun Negara dan mengenali sejarah terutama tentang kemerdekaan negara dari penjajah,” ujar beliau.

Lambaian Jalur Gemilang dari para pelajar SMK Paku semasa majlis perasmian

Lambaian Jalur Gemilang dari para pelajar SMK Paku semasa majlis perasmian

Eddy Nayoi di dalam ucapan perasmiannya pula memuji Jabatan Penerangan Bau serta SMK Paku  atas usahasama serta kerjasama bagi menjayakan program  berbentuk patriotik.

“Kempen patriotik yang dilaksanakan ini amat baik dan sesuai khususnya untuk membentuk pemikiran generasi muda agar menghormati dan menghargai kemerdekaan negara.”

”Para pelajar perlu menghayati Rukun Negara kerana ia merupakan ‘ramuan’ penting bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara,” tambah beliau lagi.

Antara pengisian program  adalah bacaan Ikrar Rukun Negara, deklamasi puisi kemerdekaan, senaman merdeka, penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua-ketua jabatan dan masyarakat, gotong-royong, pameran dari jabatan kerajaan, wacana kemerdekaan, kuiz kenegaraan, dan melekat pelekat kenderaan.

Tinggalkan komen anda