Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Penglibatan Warga Sekolah Warnai Sambutan Bulan Kebangsaan Balingian

By 9 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang/Matsukarmi Suani (Sarawak)

BALINGIAN, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Penglibatan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Parish Balingian telah mewarnai suasana  Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kecil Balingian.

Lebih 300 orang telah hadir ke program anjuran bersama Jabatan Penerangan Daerah Kecil Balingian dan pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Parish Balingian. Program  mendapat sambutan yang meriah daripada pemimpin setempat, ibu bapa dan murid-murid sekolah.

Penyertaan dan kerjasama Jabatan Penerangan dengan pihak sekolah serta masyarakat setempat telah menyemarakkan lagi sambutan di mana mereka turut terlibat di dalam perarakan Acara Titian Perjalanan Merdeka Ria.

Peserta yang mengikuti Acara Titian Perjalanan Merdeka Ria sepanjang dua kilometer

Peserta yang mengikuti Acara Titian Perjalanan Merdeka Ria sepanjang dua kilometer

Matsukarmi Sauni, Pegawai Pendidikan Daerah Kecil Balingian di dalam ucapan aluannya menyatakan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi kerjasama sepenuhnya bagi penganjuran program tersebut. Beliau juga turut memaklumkan aktiviti-aktiviti  jabatan sepanjang Bulan Kebangsaan seperti Program Merdeka@Komuniti, Pertandingan Keceriaan Merdeka dan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Saya bagi pihak jabatan amat teruja dan terhutang budi di atas kerjasama yang dihulurkan oleh pihak sekolah terhadap program ini. Kerjasama dan sokongan seperti ini amat diperlukan bagi memastikan program seperti ini boleh memberi penerangan kepada generasi muda khususnya pelajar sekolah,” ujar beliau lagi.

Salah seorang pelajar sekolah memperagakan Jalur Gemilang di basikalnya bagi menyertai  Acara Titian Perjalanan Merdeka Ria

Salah seorang pelajar sekolah memperagakan Jalur Gemilang di basikalnya bagi menyertai Acara Titian Perjalanan Merdeka Ria

Majlis tersebut disempurnakan oleh  Guru Besar SK Parish Balingian,  Cikgu Awang Yusri Awang Adeni. Dalam ucapannya, beliau mengajak masyarakat khususnya murid-murid dan ibu bapa menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah kediaman, premis-premis perniagaan, sekolah, pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta dan tempat-tempat yang bersesuaian.

“Saya berharap golongan pelajar boleh menjadi contoh untuk mengajar golongan tua untuk mengibarkan Jalur Gemilang khususnya di kawasan rumah masing-masing. Pada Bulan Kebangsaan ini marilah kita sama-sama merainya dan memeriahkan sambutannya,” tambah Cikgu Awang Yusri.

Pelbagai aktiviti bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih disusun bagi menyuntik semangat patriotisme dan nasionalisme ke dalam jiwa rakyat di peringkat bangku sekolah lagi supaya bersama-sama meraikan bulan kebangsaan pada tahun ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang Bulan Kebangsaan ini ialah pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan Busana Merdeka, pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan, pertandingan Basikal Berhias dan acara Titian Perjalanan Merdeka Ria Jalur Gemilang.

Sebelumnya, Awang Yusri menyempurnakan gimik pelancaran dengan memotong riben dan pelepasan burung simbolik pelancaran.

Pada akhir program, beliau telah melepaskan Acara Titian Perjalanan Merdeka Ria yang mendapat sambutan menggalakkan dengan jarak perjalanan sejauh dua kilometer bermula dari Dataran Ilmu, SK Parish Balingian menuju ke Kampung Pulat sebelum meneruskan perjalanan ke Pekan Lama Balingian dan ke Pekan Baru Balingian sebelum kembali semula ke sekolah.

Sambutan yang penuh meriah ini juga telah memberi impak positif terhadap masyarakat setempat dan warga sekolah terutamanya golongan pelajar tentang erti perjuangan, kemerdekaan dan semangat kesetiaan terhadap negara.

Tinggalkan komen anda