Skip to main content
Berita TimurKelantan

Penjenayah Tumpas di Pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang Negeri Kelantan

By 19 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto : Siti Meriam Mohamad (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Demonstrasi T-Baton oleh PDRM Kontinjen Kelantan dan demonstrasi banteras jenayah yang melibatkan 36 anggota polis memukau hadirin yang hadir sempena Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2019 hari ini.

Demonstrasi T-Baton yang dipersembahkan adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh pihak polis untuk mempertahankan diri ketika bertugas dalam memerangi jenayah.

Majlis yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong disaksikan hampir 1000 orang pengunjung ini bermula pada pukul 7.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Demonstrasi T-Baton

Demonstrasi T-Baton

Pelbagai pengisian yang diadakan seperti senamrobik, pertandingan mewarna melibatkan pelajar-pelajar KEMAS dan Perpaduan, pertunjukan T-Baton, pertunjukan Silat Cekak Pusaka Hanafi, persembahan koir dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 Kuala Krai, kaunter semakan mySalam Skim Perlindungan B40, penyerahan Jalur Gemilang dan perarakan Konvoi Kembara Jalur Gemilang sebanyak 62 buah kenderaan.

Kembara yang memasuki hari ke sembilan ini merupakan salah satu platform yang dibawa oleh Jabatan Penerangan Malaysia bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kanak-kanak yang ditemani ibu bapa bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang

Kanak-kanak yang ditemani ibu bapa bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan yang mewakili Menteri Besar Kelantan dalam ucapan perasmian menyeru agar pihak kerajaan mengisi pelbagai acara sempena Bulan Kebangsaan yang memberikan kesedaran dan peringatan tentang makna sebenar kemerdekaan.

Pertandingan mewarna melibatkan pelajar-pelajar KEMAS & Perpaduan

Pertandingan mewarna melibatkan pelajar-pelajar KEMAS & Perpaduan

Muhammad Hafiz, 30, salah seorang pengunjung berkata program sebegini amat wajar diadakan dengan lebih kerap agar rakyat khususnya golongan muda sedar bahawa kenikmatan mengecapi keamanan negara kita adalah hasil perjuangan nenek moyang kita berjuang pada zaman dahulu.

“Tidak rugi saya bawa anak dan isteri datang ke RTC pagi ini, selain dapat tengok perarakan konvoi kibar Jalur Gemilang sedikit sebanyak boleh menyuntik semangat sayangkan negara dalam diri anak saya,” tambah Muhammad Hafiz.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019, Mohd Roffee Mohamad, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Amir Zakri Mahmad Mahyidin dan Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Lim Ann Teck.

-NAZ

Tinggalkan komen anda