Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

“Reog Ponorogo” Keunikan Seni Masyarakat Jawa

By 19 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Festival Reog Ponorogo Anak-Anak Jawa Johor yang diadakan baru-baru ini menghimpunkan Kumpulan Kesenian Reog dari pelbagai kawasan dalam dan luar daerah Batu Pahat.

Dataran Sri Medan Batu Pahat menjadi lokasi tumpuan kumpulan-kumpulan ini untuk mempamerkan keunikan kesenian Reog Ponorogo itu sendiri.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahrudin Jamal berkata pelbagai usaha telah dilakukan oleh semua pihak di peringkat kerajaan negeri dan di jabatan agensi untuk meningkatkan tahap kesedaran awam tentang pentingnya mengekalkan serta memelihara warisan seni peninggalan nenek moyang dengan cara yang terbaik.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika merasmikan Festival Reog Ponorogo Anak-Anak Jawa.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika merasmikan Festival Reog Ponorogo Anak-Anak Jawa.

“Festival ini merupakan satu landasan yang sangat tepat untuk semua penggiat seni barongan memanifestasikan budaya seni dalam kehidupan seharian dan bagi menjayakan aspirasi ini perlu wujud suasana dan budaya kerja yang lebih menyeluruh serta tidak terlalu tertumpu pada persembahan kesenian sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

“Program ini bersifat serampang dua mata, apabila kesenian dalam seni barongan diketengahkan maka persembahan ini turut dapat ditonjolkan dalam majlis-majlis yang disertai dan di negeri Johor kita mempunyai pelbagai kaum, keturunan dan etnik seperti Jawa dan Bugis yang amat sinonim dengan negeri ini”.

Pengunjung yang hadir teruja melihat persembahan Kumpulan Reog yang mempunyai keunikan tersendiri.

Pengunjung yang hadir teruja melihat persembahan Kumpulan Reog yang mempunyai keunikan tersendiri.

“Saya berharap kesenian ini dapat diangkat, dikekal, dipelihara dan dihormati agar semua bangsa dapat menikmati serta menghargai kerencaman sejarah bangsa kita di negeri Johor,” tambahnya lagi.

Pada malam itu, sebanyak enam buah Kumpulan Reog Ponorogo iaitu Kumpulan Reog Bestari Parit Bugis Muar, Reog Bestari Tunas Warisan, Reog Sri Wahyuni Parit Raja, Reog Seri Warisan Parit Raja, Reog Setia Budi Parit Nipah dan Reog Gemala Sari Parit Baru Sri Medan telah membuat persembahan dan mempamerkan keunikan dan keistimewaan masing-masing.

Program yang dianjurkan oleh Komuniti Harapan Malaysia Sri Medan ini turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Mohd Khuzzan Abu Bakar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat yang juga wakil rasmi Pegawai Daerah Batu Pahat Kamalludin Jamal dan Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia Sri Medan, Jumari Kadni.

-NI-

Tinggalkan komen anda