Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Pertahankan Perpaduan Dengan Semangat Baharu

By 31 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/RTM

LABUAN, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Rakyat Labuan diajak untuk terus mempertahankan perpaduan dengan semangat dan tenaga baharu.

Menurut Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, dengan perpaduan rakyat Labuan berpotensi menjadi suri teladan dalam pelbagai aspek seperti pembangunan material dan spiritual.

“Perpaduan yang utuh dan hubungan harmoni sekian lama di antara masyarakat berbilang kaum menyebabkan kita di Labuan menikmati kemajuan yang membanggakan.

“Kita di Labuan adalah sebauh tempat yang telah dianugerahkan dengan satu keadaan yang cukup hebat dan perlu kita syukuri dan marilah kita berganding-bahu dalam satu pasukan untuk mencapai cita-cita nasional,” katanya semasa merasmikan Program Aspirasi Merdeka, Anjuran Jabatan Penyiaran Labuan pagi tadi.

Peserta cilik terlibat pertandingan mewarna.

Peserta cilik terlibat pertandingan mewarna.

Rozman turut mengajak semua pihak agar bersiap sedia dengan cabaran dalam mengisi kemerdekaan negara.

“Malaysia membangun dengan hebat dan memerlukan kita bersiap sedia dengan cabaran yang baharu kerana cara hidup yang berlainan memerlukan cara yang berlainan untuk mengisi kemerdekaan ini.

“Adalah penting bagi generasi baharu juga perlu memahami sejarah dan proses pembinaan negara ini agar kita lebih menghargai harga sesebuah kemerdekaan,” katanya lagi.

Sementera itu, Timbalan Pengarah Penyiaran Labuan, Fauziah Mohd Sidek, berkata Program Aspirasi Merdeka merupakan persediaan untuk menyelami semangat cintakan negara dan rasa tanggungjawab kepada pembangunan negara dari segi fizikal dan juga minda. 

Rozman (empat dari kanan) mengetuai laungan Merdeka pada majlis penutupan program.

Rozman (empat dari kanan) mengetuai laungan Merdeka pada majlis penutupan program.

“Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dalam bentuk candawara dan penuh keceriaan ini merupakan suntikan dan galakan kepada kita untuk menghormati sejarah dan erti sambutan Hari Kebangsaan dalam gaya yang tidak formal dan bersahaja.

“Antara pengisian aktiviti hari ini iaitu 10 ribu Langkah Semarak Merdeka dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Labuan, Xplorasi Merdeka dengan kerjasama Persatuan Pencinta Sejarah & Khazanah (PESADA), pertandingan mewarna, Pertandingan Fesyen Kreatif Merdeka, Kuiz Merdeka & Visit Malaysia 2020 kerjasama Jabatan Muzium, MOTAC dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Labuan,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan, Simsudin Sidek.

-SH

Tinggalkan komen anda