Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kemeriahan Kembara Kibar Jalur Gemilang Semarakkan Semangat Merdeka 

By 20 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Noor Hidayah Mohd Izam/ Mazlin Basir (Batu Pahat) 

BATU PAHAT, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 500 orang menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Batu Pahat Tahun 2019 sempena sambutan Bulan Kebangsaan ke-62 yang telah diadakan di Dataran Pejabat Daerah Batu Pahat baru-baru ini.

Konvoi Kembara Jalur Gemilang bergerak dari Dataran Pejabat Daerah Batu Pahat menuju ke lapan lokasi iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Utama Sungai Nibong Semerah, Dataran Parit Sulong, Pekan Sri Medan, Arena Warna Ayer Hitam, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Parit Raja, Pejabat Tanah dan Daerah Kecil Rengit, Dataran Senggarang dan Dataran Penggaram bagi penyerahan Jalur Gemilang.

Para pelajar sekolah teruja dengan program bersemuka sebegini.

Para pelajar sekolah teruja dengan kehadiran para peserta konvoi.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Batu Pahat Ahmad Nazri Rebu, berkata biarpun kerajaan bertukar tampuk pemerintahan, kemerdekaan harus dikekalkan, dijaga dan dipelihara sebaik-baiknya, kerana ia bukan satu bahan mainan politik.

“Kita dapat berkumpul dalam suasana yang cukup aman dan harmoni pada hari ini maka tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa, ia adalah berkat jasa, bakti dan pengorbanan para perajurit serta anggota keselamatan tanah air yang selama ini tidak mengenal erti penat lelah, berkorban apa sahaja, bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman sentosa,” katanya lagi.

Masyarakat Malaysia diseru untuk menyalakan semangat sambutan Hari Kemerdekaan.

Masyarakat Malaysia diseru untuk menyalakan semangat sambutan Hari Kemerdekaan.

Tambah beliau lagi, sambutan meriah yang diberikan terhadap program ini sedikit sebanyak dapat membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih mempunyai semangat cinta akan negara meskipun berbilang bangsa, agama, latar belakang dan budaya.

Ketua Kampung Parit Kuda Semerah, Mohd Faizal Dollah berkata program seumpama ini dapat mengajak orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan premis masing-masing bagi menambahkan lagi semangat kecintaan kepada negara.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Batu Pahat disambut meriah oleh masyarakat di sini.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Batu Pahat disambut meriah oleh masyarakat di sini.

Aktiviti pengedaran bendera ke sekolah-sekolah khususnya secara tidak langsung dapat memupuk semangat patriotisme dan mendidik jiwa para pelajar untuk menghargai erti sebuah kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan rasa penuh bangga.

Melalui program bersemuka sebegini juga masyarakat diseru untuk menyalakan lagi roh semangat kemerdekaan bersempena sambutan hari kebangsaan yang bakal tiba tidak berapa lama lagi.

Semangat patriotisme dan cintakan negara bukanlah perkara yang mampu timbul sendiri dalam diri setiap individu. Ia perlu dipupuk dan disemat dalam diri agar jiwa mereka sebati dengan perasaan itu.

Masyarakat perlu sedar bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang mereka kecapi pada hari ini bukan datang secara percuma. Ia perlu dibayar dengan harga yang mahal melalui peluh keringat, darah serta nyawa pejuang negara terdahulu termasuk anggota pasukan keselamatan.
-NI-

Tinggalkan komen anda