Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Skim Perumahan Prihatin Johor Bantu Pembeli Gagal Pinjaman Perumahan    

By 17 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Sejak undian perumahan terbuka diperkenalkan pada 1 Ogos 2018 dengan anggaran 30 hingga 40 peratus pembeli berjaya mendapat Sijil Layak Memiliki Rumah (SMLR) menerusi undian namun gagal memperolehi pinjaman perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Dzulkefly Ahmad berkata kegagalan mendapatkan pinjaman perumahan dalam tempoh yang diberikan menyebabkan surat SLMR yang diberikan kepada pembeli terpaksa dibatalkan.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan Skim Perumahan Prihatin Johor (SPPJ) bagi membantu pembeli khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan dari institusi kewangan,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pengundian Terbuka Taman Saujana Putra, Mukim Kesang, Tangkak, di sini, hari ini.

Sejak 1 Ogos 2018, kerajaan negeri telah memperkenalkan kaedah penawaran perumahan secara undian terbuka iaitu Sistem Perumahan Mampu Biaya Johor yang membolehkan orang awam melihat sendiri proses pengagihan dan kaedah undian dilaksanakan.

Kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan Skim Perumahan Prihatin Johor (SPPJ) bagi membantu pembeli rumah khususnya dari golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan – Dzulkefly Ahmad

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Johor (Perumahan) Tazrina Ahmad dan Pengarah Eksekutif Gerbang Nusajaya Development Sdn Bhd Mohd Zin Mohd Din.

Mengulas mengenai cadangan skim SPPJ, Dzulkefly berkata kerajaan negeri akan menyediakan pakej pemilikan rumah secara sewa beli dengan kerjasama agensi yang berkaitan tanpa perlu melibatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

“Skim ini akan dibiayai oleh tabung perumahan yang dananya diperolehi daripada sumbangan 7.5 peratus ke atas lot perumahan Bumiputera dan caj penalti dari setiap rumah yang gagal dibina oleh pemaju perumahan.

“Ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk menyantuni masyarakat agar slogan kita, ‘Satu Keluarga, Satu Kediaman’ dapat dicapai dengan jayanya,” jelasnya lagi.

Beliau meminta pembeli yang berjaya mendapat surat SMLR agar segera memohon pinjaman perumahan kerana tempoh sah bagi surat itu hanya akan dilanjutkan selama dua bulan sahaja.

Dalam pada itu, projek perumahan yang meliputi 166 unit Rumah Mampu Biaya di Taman Saujana Putra, Mukim Kesang, Tangkak yang terbengkalai sejak tahun 2006 telah diambil alih oleh Gerbang Nusajaya Development Sdn Bhd.

Keseluruhan unit rumah yang ditawarkan menerusi undian terbuka ini adalah sebanyak 116 unit meliputi Rumah Mampu Biaya A yang berharga RM42,000, Rumah Mampu Biaya B berharga RM80,000 sebanyak 150 unit dan 178 unit lagi merupakan rumah teres dengan kadar harga biasa.

-NI-

Tinggalkan komen anda