Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanMA

Suburkan Semangat Patriotik dari Bangku Sekolah

By 30 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Salleh Immun / Suherman Sari (Kuching)

SIMUNJAN, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Simunjan disambut penuh ceria dan meriah bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Man Simunjan pagi ini.

Kehadiran lebih kurang 500 orang pelajar, guru dan ibu bapa nyata memberikan aura yang luar biasa terhadap program yang diadakan.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Simunjan dengan kerjasama SK Abang Man Simunjan ini telah dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Simunjan, Safari Haji Satem.

Pelajar bersama basikal yang di hias dengan Jalur Gemilang

Pelajar bersama basikal yang di hias dengan Jalur Gemilang

Safari berkata bahawa program yang diadakan ini adalah bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme serta menyuntik rasa cintakan tanah air dari kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

“Penglibatan pelajar sekolah rendah amatlah bertepatan dalam menyuburkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara memandangkan generasi muda harus didedahkan dengan elemen kemerdekaan supaya mereka mampu menterjemahkannya dalam bentuk yang lebih positif demi kemakmuran negara pada masa akan datang.

Foto kenangan safari bersama Anak Merdeka, guru, ibu bapa dan kakitangan jabatan yang menjayakan program ini

Foto kenangan safari bersama Anak Merdeka, guru, ibu bapa dan kakitangan jabatan yang menjayakan program ini

Selain itu, generasi muda haruslah disayangi memandangkan mereka akan berperanan untuk meneruskan pembangunan negara pada masa akan datang,” katanya sewaktu merasmikan majlis ini.

“Sebagai sebuah negara yang merdeka, anak-anak kita khususnya di peringkat sekolah rendah hendaklah ditanamkan sifat jati diri dan nilai-nilai murni agar mereka menjadi seorang Anak Merdeka yang disegani dan dikenali pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Pelbagai pengisian program telah dilaksanakan seperti nyanyian lagu patriotik, perarakan Jalur Gemilang yang bermula dari perkarangan sekolah dan kampung berdekatan, pertandingan basikal berhias, pertandingan peragaan fesyen menggunakan Jalur Gemilang dan laungan kemerdekaan oleh barisan pelajar beruniform.

“Saya menyeru agar semua pihak menghormati Jalur Gemilang dan mengibarkannya sepanjang Ogos hingga 16 September sebagai tanda sayang dan cintakan negara Malaysia,” ujarnya.

Safari memuji penglibatan guru dan pelajar dalam program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Simunjan dengan kerjasama SK Abang Man Simunjan dan berharap agar kerjasama sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Tinggalkan komen anda