Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

UMS Harus Tingkat Kajian, Penyelidikan Biodiversiti Sabah

By 1 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol/ Johnny Joklis  (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu meningkatkan kajian dan penyelidikan berkaitan kepelbagaian biodiversiti di negeri ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, UMS perlu menekankan aspek kajian dan penyelidikan khususnya dalam bidang biodiversiti yang belum diterokai.

“Saya mahu aspek penyelidikan diberi penekanan kerana masih banyak yang belum diterokai khasnya di negeri ini  yang sangat kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

“Saya berharap usaha ini akan direalisasikan oleh UMS dan bagi pihak kementerian serta kerajaan negeri, kita amat menyokong usaha murni bagi tujuan memajukan pendidikan dan pembangunan penyelidikan di sini,” katanya.

Yusof berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Naib Canselor UMS, pada Rabu.

Kakitangan UMS merakamkan gambar kenangan bersama Dr Yusof (tiga dari kiri) sejurus Majlis Serah Tugas Naib Canselor UMS.

Kakitangan UMS merakamkan gambar kenangan bersama Dr Yusof (tiga dari kiri) sejurus Majlis Serah Tugas Naib Canselor UMS.

Pada majlis tersebut menyaksikan Profesor Datuk Dr D. Kamarudin D. Mudin menyerahkan nota serah tugas kepada Profesor Dr Taufiq Yap Yun Hin yang dilantik sebagai Naib Canselor UMS ke-enam berkuat kuasa 30 Julai ini hingga 29 Julai 2022.

Dalam pada itu Yusof berkata, kerajaan negeri menggesa UMS untuk peka melahirkan graduan berkualiti yang mampu memenuhi keperluan industri.

“Kita berharap ada peningkatan daripada segi kebolehpasaran graduan dan UMS menjadi sebuah pusat pengajian dalam menyediakan graduan yang mampu dimanfaatkan oleh industri khasnya dalam negeri Sabah sendiri.

“UMS juga perlu peka terhadap keperluan industri di negara ini terutamanya di Sabah antaranya dalam bidang pertanian, pelancongan, penyediaan makanan, minyak dan gas serta kayu-kayan.

“Kita mahu wujudkan industri yang cepat berkembang dan graduan perlu bijak mencipta peluang dengan menceburi bidang keusahawanan dan tidak makan gaji semata-mata,”katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa; Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) keenam; Profesor Dr Taufiq Yap Yun Hin, Mantan Naib Canselor UMS ke-lima, Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin dan Mantan Naib Canselor ke-empat, Profesor Datuk Dr Harun Abdullah.

ER

Tinggalkan komen anda