Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Warga Labuan Sahut Seruan Kibar Jalur Gemilang

By 27 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Rata-rata warga Wilayah Persekutuan Labuan dilihat tidak ketinggalan menyahut seruan untuk mengibarkan Jalur Gemilang seperti di premis perniagaan, bangunan kerajaan, pejabat dan rumah kediaman.

Tinjauan di beberapa lokasi menunjukkan warga Labuan menzahirkan semangat menyambut sambutan Bulan Kebangsaan dengan menaikkan Jalur Gemilang di tempat mereka.

Menurut Ahad Kasim, 66, beliau tidak mahu ketinggalan untuk memasang Jalur Gemilang di gerai jualannya yang terletak di Pasar Sentral bagi sama-sama menghidupkan suasana Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Sudah menjadi kelaziman setiap tahun untuk kami memasang Jalur Gemilang di gerai jualan apabila memasuki bulan Ogos untuk memeriahkan suasana dan menceriakan lagi keadaan di pasar ini.

Jalur Gemilang memenuhi setiap ruang sebuah kediaman di Kg. Sungai Miri.

Jalur Gemilang memenuhi setiap ruang sebuah kediaman di Kg. Sungai Miri.

“Ini juga sebagai sokongan kami terhadap hasrat kerajaan yang ingin melihat masyarakat menghormati Jalur Gemilang walau di mana kami berada,” katanya.

Bagi Goh Ah Ling, 59, beliau teringin memasang Jalur Gemilang di gerainya kerana melihat suasana kibaran Jalur Gemilang di tempat lain yang mulai meriah sejak awal bulan Ogos.

“Saya mesti pasang sebab orang lain banyak pasang, saya pun mesti sama-sama sambut merdeka.

“Ini (pasang Jalur Gemilang) macam saya sayang sama Malaysia, walaupun satu helai saja tapi saya tetap mau pasang,” kongsinya penuh ceria.

Goh Ah Ling Goh Ah Ling memasang Jalur Gemilang di gerainya.

Goh Ah Ling Goh Ah Ling memasang Jalur Gemilang di gerainya.

Bagi seorang belia iaitu Nur Ain Lamit, 23, Sambutan Hari Kebangsaan tidak lengkap tanpa memasang Jalur Gemilang di premis perniagaan tempatnya bekerja.

“Saya cadangkan kepada majikan untuk memasang Jalur Gemilang di kedai ini dan saya tidak kisah membelinya dengan duit sendiri.

“Sebagai generasi muda saya ingin tunjukkan yang saya juga sayangi negara ini dengan memasang Jalur Gemilang,” jelasnya.

Manakala bagi seorang pemimpin komuniti India yang sudah bermastautin di Labuan sejak 40 tahun dahulu, Datuk Ramasamy Rengasamy, 64, Jalur Gemilang adalah simbol kepada semangat perpaduan yang ada di Labuan.

“Saya mesti kibarkan Jalur Gemilang kerana bendera ini telah menyatukan rakyat pelbagai agama dan kaum di Labuan.

“Kita mesti jaga Jalur Gemilang seperti kita jaga Labuan agar perpaduan dan kemajuannya berterusan sampai bila-bila,” katanya penuh semangat.

Tinjauan turut mendapati Jalur Gemilang dikibarkan di serata kawasan kampung, sekolah-sekolah, tempat tumpuan pelancong, jalan-jalan utama serta rumah-rumah ibadat di Labuan.

-SH

Tinggalkan komen anda