Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pasukan Berkuda Diketuai KSN, Formasi Manusia Antara Tarikan Hari Kebangsaan

By 27 Ogos 2019Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Arkib Malaysia Aktif

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Perarakan pasukan berkuda penjawat awam, yang diketuai sendiri Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ismail Bakar, antara tarikan menarik dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019, di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos nanti.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata dalam segmen penjawat awam itu, Ismail akan mengetuai 44 pasukan berkuda dan 900 orang penjawat awam daripada pelbagai kementerian.

“Rakyat Malaysia sudah biasa dengan persembahan yang sama setiap tahun dalam perarakan Hari Kebangsaan. Oleh itu, kali ini kita cuba bawa beberapa pembaharuan, termasuk dalam segmen penjawat awam di mana KSN sendiri akan menunggang kuda dan mengetuai penjawat awam kita.

“Kita juga ada persembahan pergerakan formasi manusia, yang melibatkan pelajar sekolah di mana mereka akan melakukan formasi tersebut di atas struktur 12 tingkat, dengan membawa mesej semangat patriotisme,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, semalam.

Aminuddin berkata pihaknya juga menjangkakan seramai 300,000 ke 500,000 pengunjung, dijangka hadir memeriahkan sambutan tersebut.

Katanya pelbagai kemudahan juga akan turut disediakan kepada pengunjung termasuk penyediaan tempat duduk teres lima tingkat di sepanjang Dataran Putrajaya.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli seramai 15,910 peserta dan 391 aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terlibat dalam sambutan tahun ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda