Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurSelangor

225 Mangsa Ribut Terima Sumbangan

By 1 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Selangor menyalurkan RM512,600 kepada 225 keluarga mangsa ribut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan Taman Templer, sini hari ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata sumbangan tersebut disalurkan melalui Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Rumah-rumah yang terkesan di kalangan golongan asnaf atau penerima zakat akan dibantu melalui sumbangan LZS, manakala MBI pula menyalurkan sumbangan kepada golongan bukan asnaf.

“MBI berbelanja lebih RM445,600 dan LZS sebanyak RM67,500 yang disampaikan kepada mangsa ribut yang terjejas baru-baru ini,” katanya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua memaklumkan bantuan seumpama juga akan disampaikan kepada mangsa ribut Sabak Bernam pula.

“Selepas ini kita nak selaraskan pula bantuan untuk Sabak Bernam melalui peruntukan yang diluluskan RM1.6 juta melibatkan 500 buah rumah,” jelasnya.

Salah seorang mangsa ribut penerima sumbangan daripada Amirudin (kiri).

Salah seorang mangsa ribut penerima sumbangan daripada Amirudin (kiri).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Kebangsaan peringkat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves.

Terdahulu beliau bersama lebih 1,000 hadirin menyaksikan perbarisan kontinjen melibatkan 289 orang daripada pelbagai agensi melibatkan jabatan kerajaan dan swasta, Majlis Pengurusan Komuniti kampung (MPKK) serta sekolah-sekolah sekitar DUN Sungai Tua.

“Sejarah merupakan satu proses di mana kita akan mengenali roh dan jati diri kita semua. Jadi sebagai warga negara perlu memahami sejarah yang pernah kita lalui.

“Presiden pertama Indonesia, Soekarno pernah menyebut bahawa bangsa yang besar adalah bangsa yang kenal sejarahnya.

“Justeru di Hari Kebangsaan ini saya menyeru kita mengumpulkan muafakat melalui rintangan dan dugaaan, mengemukakan formula kita untuk membentuk hari kemerdekaan negara,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda