Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 24 bayi merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 tahun ini dilahirkan di Hospital Selayang Pada tanggal 31 Ogos.
Timbalan Pengarah (Perubatan I) Hospital Selayang, Dr Tengku Intan Norleen Tengku Sharif berkata bayi pertama dilahirkan pada jam 12.20 awal pagi dan sehingga jam 2 petang seramai 24 bayi telah lahir termasuk satu bayi kembar.
“Sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hospital Selayang mengadakan sambutan di hospital dengan meraikan kelahiran bayi yang baru dilahirkan di sini sejak malam tadi sehingga pagi ini.
“Sambutan bayi merdeka hospital ini adalah acara tahunan sebagai sebagai tanda kesyukuran terhadap kelahiran generasi baru,” katanya.
Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Mohd Shafiq Abdullah.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Anak-anak Merdeka, Datuk Dr Mohamed Alwi Abd Rahman merangkap Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Selayang.
Sementara itu, ibu kepada pasangan kembar ini, Sharifah Nur Wafiqah Syed Abd Rahman, 23 dan suami, Syed Azmiraq Syed Bani Amin, 26 tidak menyangka pasangan kembar itu lahir lebih awal dari jangkaan.
“Bayi kembar ini sepatutnya lahir pada 12 September tapi sejak 28 Ogos lalu terdapat tanda saya akan bersalin, malam tadi baru rasa sakit selepas dua hari dimasukkan ke hospital.
“Semasa imbasan dibuat seperti bayi lelaki dan perempuan, namun selepas lahir dapat bayi perempuan kembar. Namun saya bersyukur dan berharap mereka membesar dengan sihat dan mempunyai semangat sayangkan negara,” katanya.
-NAZ