Laporan/Foto: Hazlinah Samsir /Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA BELUD, 30 Sept (Malaysiaktif) – Acara larian kini semakin popular sebagai satu ikhtiar menerapkan gaya hidup sihat.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Sabah (JaPen), Azman Sipan berkata acara larian dan jalan kaki semakin mendapat perhatian ramai.
“Di samping hobi masyarakat menjadikan baju dan medal larian sebagai koleksi, ia secara langsung menggalakkan gaya hidup sihat.
“Menurut kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 55 peratus rakyat Malaysia kini mengalami kelebihan berat badan dan obesiti.
“Masalah ini merupakan penyumbang utama kepada penyakit kronik seperti darah tinggi dan diabetes.
“Oleh itu, membudayakan acara larian seperti ini dapat menerapkan amalan hidup sihat dan menurunkan kadar obesiti sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Engagement Sayangi Malaysiaku & Nite Run, di Dataran Kota Belud, pada Ahad.
Menurutnya, pelaksanaan program tersebut merupakan salah satu strategi JaPen dalam membina jaringan komunikasi, memasar informasi dan membentuk persepsi bagi membina masyarakat terhubung dan berinformasi.
Dalam pada itu, Jomilin Aton, 44, berasal dari Kampung Tombulion berpendapat acara sukan seperti larian, dapat menjauhkan anak muda daripada anasir yang tidak baik.
“Melalui sukan, anak muda tidak mudah terjebak dengan gejala tidak baik kerana lebih meluangkan masa untuk latihan dan menyertai acara larian yang dianjurkan pelbagai agensi.
“Selain itu, saya mendapati daya fokus mereka kepada pembelajaran juga semakin meningkat kerana mempunyai badan yang sihat,” ujarnya.
Ibu kepada pemenang tempat pertama kategori wanita, Bibilin Fauzi, 14 yang bersekolah di Sekolah Sukan Malaysia Sabah turut menyampaikan harapan agar ibu bapa menyokong minat anak-anak dalam bersukan.
Sementara itu, pemenang kategori lelaki disandang oleh Romieo Gomboh, 20 dari Kota Marudu yang membawa pulang medal, sijil penyertaan dan wang tunai RM300.
Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.
ER