Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Bahas Piala MAIWP Pupuk Nilai Sejagat Secara Sihat

By 27 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Mohd Nurhan Salleh (Labuan)

LABUAN, 27 Sep ( Malaysiaaktif ) – Pertandingan Bahas Piala MAIWP yang julung kali diadakan menjadi medium terbaik untuk peserta berbahas tentang nilai sejagat secara sihat.

Menurut Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin, dalam melakukan sesuatu perkara, niat, matlamat dan usaha ialah agenda penting yang perlu diambil perhatian oleh setiap individu.

“Begitu juga dalam berbahas dan menyampaikan hujah, kesemuanya perlu diambil perhatian supaya penyampaian hujah yang disampaikan memberikan impak yang positif kepada orang lain.

“Penganjuran pertandingan bahas ini memberikan satu pendedahan yang baharu kepada pelajar-pelajar di Labuan selari dengan agenda MAIWP yang berperanan dalam membangunkan sosioekonomi ummah yang bukan sahaja terhad terhadap aktiviti pengurusan zakat bahkan menerusi aktiviti yang berunsurkan pendidikan,” katanya.

Raisin juga menyeru agar masyarakat menyokong tema Pertandingan bahas iaitu ’Rahmatan Lil Alamin’ yang telah diperkenalkan oleh kerajaan bertujuan untuk memupuk kasih sayang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Gagasan yang diperkenalkan ini sangat baik apatah lagi dalam usaha untuk menarik masyarakat bukan Islam untuk lebih dekat dengan agama Islam dan melihat keindahan agama Islam yang syumul ini.

“Oleh itu, marilah kita memandang positif perkara ini dan sama-sama bersatu menyokong hasrat murni ini yang dapat membantu membuang persepsi dan tanggapan negatif masyarakat terhadap agama Islam termasuk dalam isu Islamophobia,” jelasnya semasa merasmikan pertandingan itu di Kompleks Darul Kifayah, baru-baru ini.

Pada pertandingan itu, Johan disandang oleh
SMK Labuan diikuti SMK Rancha-Rancha selaku Naib Johan dan SMK Mutiara di tempat ketiga.

Pembahas dari SMK Labuan, Naqiah Ainaa Mohd Aminuddin pula muncul sebagai Pembahas Terbaik.

Turut hadir, Pengurus Majlis Agama Islam Cawangan Labuan Ahmad Saifuddin Md Tahir @Twahir, Timbalan Pengurus Operasi Majlis Agama Islam Cawangan Labuan Radzaleih Matusin dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Hasbollah Amit.

-SH

Tinggalkan komen anda