Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

KPLB Sabah Sedia Peruntukan Bangunkan Mesej Pelancongan Luar Bandar

By 27 September 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto:Marryan Razan (Kota Kinabalu)

PAPAR, 27 Sept (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyediakan sejumlah peruntukan tahun ini untuk membangunkan perkampungan Mini Estate Sejahtera (MESEJ) sedia ada yang sesuai sebagai pusat pelancongan luar bandar.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sebagai permulaan, tahun ini kementeriannya telah mengenalpasti dua Mesej untuk melaksanakan program pelancongan luar bandar iaitu Mesej Kinolosodon di Papar dan Mesej Kaingaran di Tambunan.

“Kita mahu memperkasakan program Mesej bukan sahaja mempelbagaikan aktiviti atau tanaman pertanian selaras dengan halatuju kerajaan negeri yang memberi fokus lebih besar kepada aktiviti pertanian tetapi juga memperkenalkan perkampungan Mesej sebagai sebuah pusat pelancongan luar bandar bagi menambah sumber pendapatan peserta.

Ewon melihat keadaan rumah kosong di Mesej Kinolosodon

Ewon melihat keadaan rumah kosong di Mesej Kinolosodon

“Jumlah peruntukan untuk setiap Mesej adalah berbeza, bergantung kepada keperluan peserta Mesej itu sendiri.

“Misalnya di Mesej Kinolosodon Papar, mereka memerlukan penambahbaikan penginapan, kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, pondok rekreasi dan kolam ikan sebagai tarikan pelancong.

“Saya gembira kerana Persatuan Berbasikal Negeri Sabah menyatakan keinginan untuk menggunakan Mesej Kinolosodon sebagai tempat latihan mereka pada bulan depan dan mereka akan menjadi pengunjung pertama di Mesej ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja di Mesej Kinolosodon Papar, di sini, pada Khamis.

Terdahulu itu Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian diberikan taklimat ringkas oleh Ketua Bahagian Skim, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Alexsius Modiun mengenai Mesej Kinolosodon.

Ewon berkata kementeriannya juga akan menerokai bidang pertanian lain di kawasan Mesej selain tanaman kelapa sawit dan getah, dengan menanam tanaman nenas dan sayur-sayuran.

“Bagaimanapun ini bergantung kepada faktor kesesuaian dan jenis tanah, sebab ada tanah yang curam dan sesuai untuk tanaman nenas dan mungkin ada yang hanya sesuai untuk penternakan madu kelulut, burung walit atau ikan air tawar.

“Misalnya Mesej Kinolosodon Papar tanahnya berbeza dengan perkampungan mesej di kawasan Kinabatangan, Semporna, Lahad Datu dan kawasan utara Sabah kerana jenis tanah dan kecuraman tanah di kawasan tersebut berbeza maka aktiviti atau tanaman juga akan berbeza,” katanya.

Ketika ditanya sama ada KPLB Sabah berhasrat untuk memperluaskan atau menambah perkampungan Mesej, Ewon berkata, program ini adalah antara program pembasmian kemiskinan dan perlu diperbanyakkan agar lebih banyak masyarakat luar bandar yang tersenarai dalam e-Kasih dapat dibantu.

Ewon mendengar keperluan peserta

Ewon mendengar keperluan peserta

“Ini merupakan satu program pembasmian kemiskinan yang baik, oleh itu ia perlu diperkasakan dan kalau ada permintaan kita akan perbanyakkan perkampungan Mesej supaya lebih banyak masyarakat luar bandar dapat dibantu seterusnya mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Bagaimanpun katanya, ia bergantung kepada permintaan Pejabat Daerah, wakil rakyat dan penduduk kawasan itu.

“Program Mesej memerlukan satu kawasan tanah yang luas iaitu tidak kurang daripada 100 hektar iaitu 250 ekar dan jika pejabat daerah dapat mengenalpasti tanah-tanah kerajaan yang boleh dibangunkan untuk program Mesej, KPLB sentiasa bersedia memberi pertimbangan sewajarnya.

“Selain Mesej berskala besar seperti Mesej Kinolosodon Papar, kita juga ada program Mikro Mesej melibatkan kawasan kecil seperti Mesej Burung Walit dan Mesej Perikanan.

“Ini pun kita alu-alukan pandangan pejabat daerah dan wakil rakyat tetapi ia perlu dimuktamadkan di peringkat daerah sebelum dikemukakan kepada kementerian kita,” katanya.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan merangkap Adun Bongawan Dr.Daud Yusof, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Pegawai Daerah Papar, Ghulam Rasul Hapil dan para pegawai LIGS.

ER

Tinggalkan komen anda