Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Bebas Merpati Simbolik Kemerdekaan

By 14 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Fauzi Mohd Yusof (Tampin)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)

TAMPIN, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak lapan ekor burung merpati dilepaskan dalam Majlis Perasmian Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Tampin 2019 di Sekolah Kebangsaan Keru (SK Keru), di sini pada Rabu.

Simbolik pelepasan burung merpati tersebut membawa erti tersendiri, iaitu enam ekor melambangkan angka enam manakala dua ekor lagi melambangkan angka dua yang melambangkan 62 tahun negara ini bebas dari penjajahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata program KMJG ini membantu dalam menyemarakkan semangat rakyat Malaysia dalam menghargai kemerdekaan.

“Saya amat berharap penduduk di Tampin ini boleh sama-sama menunjukkan rasa sayang akan negara dengan memasang Bendera Jalur Gemilang di rumah, kereta dan kedai mereka,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut.

WhatsApp Image 2019-09-12 at 15.40.20

Veerapan meluangkan masa bergambar di ‘photo booth’.

Selain itu, 70 buah motosikal pelbagai jenis turut menyertai dan memeriahkan konvoi KMJG kali ini yang terdiri daripada beberapa NGO di sekitar daerah Tampin, iaitu TN9 Bikers, Gemas Bikers serta Kapchai Bikers IPD Tampin yang diketuai sendiri oleh Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Ramli Kasa.

Konvoi berarak melalui tiga lokasi iaitu di Stesen KTM Gemas, Hentian Bas Gemencheh dan berakhir di Tampin Square yang mana para peserta konvoi turut mengedarkan bahan penerbitan Jabatan Penerangan serta bendera Jalur Gemilang kepada orang ramai di kesemua lokasi tersebut.

WhatsApp Image 2019-09-12 at 15.40.15

Ketua Polis Daerah Tampin mengetuai konvoi.

Konvoi KMJG yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Tampin serta Pejabat Daerah dan Tanah Kecil Gemas ini turut mendapat kerjasama daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) daerah Tampin dan juga beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang lain.

Turut hadir adalah Pegawai Daerah Tampin, Suhaiza Sharudin dan Pegawai Penerangan Daerah Tampin, Salwati Md. Zam serta Penyelaras DUN Gemas, Rosnani Saring.

-AK

Tinggalkan komen anda