Laporan/foto: Nurul Wahida Mohd Noor (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Lagu ‘Syurga Di Telapak Kaki Ibu’ mengangkat nama Muhammad Hanizam Azman, 28, sebagai Johan Pertandingan Bintang Patriotik Pulau Pinang.
Bermula dengan hobi yang gemar menyanyikan lagu-lagu asli Melayu tradisional sejak 15 tahun lalu beliau mengambil keputusan untuk lebih serius dalam bidang ini dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian dan pernah mewakili Negeri Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan.
Hanizam merupakan penyanyi Okestra P. Ramlee di Pulau Pinang dan memiliki perniagaan sendiri serta sering mendapat jemputan dalam membuat persembahan di majlis-majlis rasmi kerajaan.
Johan pertandingan ini membawa pulang baucar bernilai RM500 bersama hamper, Naib Johan (RM400) dan tempat ketiga (RM300) serta lima pemenang saguhati menerima baucar bernilai RM100 setiap seorang.
Seramai lapan orang peserta berentap pada peringkat akhir dengan keunikkan suara masing-masing beserta pelbagai aksi dramatik ditampilkan bagi memenangi hati juri.
-SH